Penganggur dijel 18 bulan guna wang palsu beli nasi, rokok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara menggunakan dua keping wang palsu RM100 untuk membeli nasi dan rokok, seorang penganggur dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhamad Fizwan Norruhadi, 34, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 23 Ogos lepas.

Tertuduh yang beralamat di Sungai Isap 3, di sini didakwa menggunakan wang palsu RM100 sebagai tulen untuk membeli nasi bungkus berharga RM5 di sebuah gerai makan di Beserah, di sini pada 9.30 pagi 21 Ogos lepas.

Dia juga didakwa menggunakan sekeping lagi wang palsu itu pada 3.18 petang hari yang sama di sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota, di sini untuk membayar sebungkus rokok bernilai RM12.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menjaga bapanya yang berusia 64 tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan: