X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 29 Januari 2022

Terengganu peruntuk RM1.2 juta perkayakan sumber marin

Azman (dua dari kanan) membantu melabuhkan unjam di Marang pada Ahad.
A
A

MARANG - Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi memperkayakan sumber marin di negeri ini sebagai usaha meningkatkan hasil laut dan tangkapan nelayan.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ia melibatkan tiga program iaitu pembinaan tukun tiruan, melabuhkan unjam dan pelepasan benih ikan.

Menurutnya, beberapa siri melabuh unjam di lokasi strategik telah dilaksanakan sebelum ini dan ia akan diteruskan di daerah Kemaman dan Dungun pada bulan depan.

"Kemudian kita akan melabuh tukun di perairan laut, masih ada 45 buah tukun tiruan yang dalam peringkat akhir pembinaan di Pulau Kambing dan ia bakal dilabuhkan pada pertengahan bulan depan.

"Ini antara program memperkaya sumber perikanan dengan skala terhad dan tidak sebagaimana dirancang pada peringkat awal berikutan pandemik Covid-19. Tapi kita dapat laksanakan walaupun bukan seratus peratus seperti asal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Penyerahan Lesen Sampan Nelayan, Bantuan Touch Point (Peralatan Menangkap Ikan), Kerja-kerja Melabuh Unjam, Bantuan One Off Covid-19 Sektor Pertanian dan Bakul Makanan MAFI Sempena Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 di Pengkalan Merchang, di sini pada Ahad.

Azman memberitahu, kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan berjumlah RM300,000 bagi membekalkan peralatan menangkap ikan kepada 415 nelayan pesisir pantai (Zon A) Terengganu pada tahun ini di bawah program bantuan Touch Point.

Beliau berkata, bantuan berupa peralatan seperti peranti pengesan ikan (fish finder), peralatan kail mengail, kawat bubu dan pukat tangsi ini adalah usaha kerajaan membantu nelayan pesisir pantai menambah keupayaan menangkap ikan.

"Di Terengganu, nelayan ini (pesisir pantai) adalah yang paling ramai iaitu 5,023 orang berbanding Zon B dan C dan penggunaan peralatan menangkap ikan secara tradisional adalah kaedah utama digunakan mereka.

"Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban nelayan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain meningkatkan keupayaan dan hasil tangkapan mereka," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!