‘Saya tak pernah putus berdoa’

Nurul Wahidah (tengah) memangku Nurul Firzanah sambil Mohammad Feroz (kanan) memberi susu menggunakan picagari dan tiub khas.
A
A

SABAK BERNAM - “Saya tak putus berdoa agar kesihatan bayi saya pulih dan dapat jalani pembedahan segera,” demikian kata

Ibu kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan yang disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.

Nurul Wahidah Abdul Samad, 29, berkata, anaknya, Nurul Firzanah Mohammad Feros Khan, sepatutnya menjalani pembedahan di Hospital Serdang, Rabu lalu.

Bagaimanapun, katanya, pembedahan itu terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan kesihatan anak bongsu daripada dua beradik itu tidak mengizinkan.

“Kami akan ke Hospital (Serdang) untuk dapatkan tarikh temu janji pembedahan Isnin depan,” katanya.

Nurul Wahidah berkata, Nurul Firzanah memerlukan pembedahan segera memandangkan terdapat tiga lubang di antara rongga kanan dan kiri jantung bayinya itu.

“Doktor beritahu, ada tiga lubang sebesar 9.2 milimeter (mm) diikuti lubang 2.9 mm dan yang ketiga lebih kecil (saiz tidak dimaklumkan),” katanya.

Menurutnya, Nurul Firzanah yang dilahirkan seberat 2.6 kilogram (kg) kini memiliki berat hanya 4.2 kg, jauh lebih ringan berbanding berat bayi normal seusianya.

Nurul Wahidah memberitahu, simptom awal Nurul Firzanah bermasalah jantung apabila bayinya itu kuat berpeluh.

“Kalau minum susu terpaksa berhenti-henti sebab bernafas dengan laju selain berat badannya lambat naik.

“Bayi saya dikesan menghidap jantung berlubang semasa pemeriksaan rutin di Hospital Sungai Buloh ketika usia empat bulan,” katanya.

Dia yang menetap di Kampung Simpang Lima, di sini, berkata, semasa pemeriksaan, perut Nurul Firzanah didapati membesar dan doktor memberitahu jantung bayinya itu membengkak.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut termasuk ujian imbasan X-ray mengesahkan Nurul Firzanah mengidap jantung berlubang jenis ‘Ventricular Septal Defect’ (VSD).

“Anak saya kemudian dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Serdang sejak September lalu untuk pemeriksaan lanjut dan disyorkan menjalani pembedahan segera,” katanya.

Katanya, kos pembedahan itu menelan belanja RM30,000 dengan sebahagian besar kos pembedahan itu ditanggung pihak hospital.

“Cuma saya risau sebab terpaksa mencari duit untuk kos perubatan selepas pembedahan termasuk ubat-ubatan dan perbelanjaan berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

Nurul Wahidah berkata, dia bertugas sebagai guru Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) dengan pendapatan bulanan RM1,400 manakala suaminya, Mohammad Feros Khan Mohd Ibrahim, 35, bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu.

Katanya, Nurul Firzanah juga terpaksa menggunakan susu khas yang disyorkan doktor dengan kos hampir RM80 seminggu bagi tujuan menambah berat badan bayinya.

Orang ramai boleh menyalurkan bantuan kewangan ke akaun Bank CIMB 7012636616 atas nama Nurul Wahidah atau menghubunginya di talian 019-5692301.