SERVE bantu ringankan beban mangsa banjir di Yan

Mohd Khairuddin (empat, kanan) bersama sukarelawan SERVE sebelum menyempurnakan majlis pelepasan ke Yan, Kedah di Dataran Shah Alam pada Ahad.
Mohd Khairuddin (empat, kanan) bersama sukarelawan SERVE sebelum menyempurnakan majlis pelepasan ke Yan, Kedah di Dataran Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif menghantar sekumpulan badan sukarelawan Selangor Volunteer (SERVE) bagi membantu mangsa banjir kilat akibat tragedi kepala air di Yan Kedah pada Ahad.

Langkah itu selaras dengan usaha kerajaan negeri menubuhkan Selangor Volunteer (SERVE) bagi memperkasa dan memberi ruang kepada para sukarelawan belia untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, selain berkhidmat untuk komuniti dalam aktiviti kemasyarakatan, SERVE juga sentiasa bersiap siaga ketika bencana alam dan kecemasan.

"Objektif SERVE ini adalah untuk membentuk jentera sukarelawan bersepadu bagi membantu komuniti ketika krisis dan bencana dan memupuk belia terlibat aktif dalam aktiviti sukarelawan dan kemasyarakatan.

"SERVE juga berperanan mengukuhkan jaringan dengan masyarakat akar umbi dan menjadi platform kepada kerajaan negeri untuk terus membantu rakyat yang terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Pasca Banjir SERVE melibatkan sukarelawan SERVE ke Yan, Kedah di Dataran Shah Alam di sini pada Ahad.

Pasukan SERVE yang dianggotai golongan belia juga merupakan antara nadi utama kepada negeri Selangor itu dikelola oleh Penggerak Belia Selangor (PeBS) melalui Exco Kemasyarakatan, Jaringan dan Kesukarelawan.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri Selangor mengikuti perkembangan kejadian bencana banjir dilaporkan berpunca daripada fenomena kepala air yang berlaku di Yan, Kedah.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri menggerakkan seramai 30 hingga 50 sukarelawan SERVE yang akan membantu mangsa bencana itu di negeri berkenaan.

"Kerajaan negeri melalui sukarelawan SERVE ini juga akan menghantar barang keperluan asas berupa sejadah, kain pelikat, barangan dapur dan sebagainya kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sana," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari juga akan hadir ke Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Bantuan Bencana yang akan diserahkan kepada Menteri Besar Kedah pada Selasa ini.

"Usaha ini sebagai tanda usaha kemanusiaan kerajaan negeri terhadap mangsa terlibat dalam fenomena kepala air di Yan, Kedah.

"Kerajaan negeri juga berharap agar bantuan sukarelawan SERVE ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang menimpa mangsa di negeri itu," katanya.