Hospital Pantai sumbang peralatan perubatan bernilai RM31,500

Bee Chan (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan.
Bee Chan (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Hospital Pantai Sungai Petani menyampaikan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM31,500 kepada Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan dua klinik kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Sungai Petani, Tio Bee Chan berkata, antara barangan yang disumbangkan termasuk set peralatan perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan dan bakul makanan untuk petugas wad Covid-19 HSAH.

Menurutnya, sumbangan turut diserahkan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dan 150 keluarga yang memerlukan bantuan bakul makanan dengan nilai keseluruhan RM16,500.

"Sebelum ini, kita juga telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000 yang berupa peralatan keperluan perubatan kepada dua fasiliti kerajaan iaitu Klinik Kesihatan Bakar Arang dan Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani untuk pesakit Covid-19," katanya.

Menurutnya, sumbangan itu membabitkan peralatan seperti satu unit non-invasive blood pressure (NIBP), 1,000 unit pelitup muka N95, enam unit kipas, satu unit penyejuk udara, sebuah katil dan sebuah kerusi roda.

"Pemberian ini adalah tindakan responsif dan proaktif yang diambil oleh pihak hospital bertujuan menggalakkan penyumbang daripada sektor swasta membantu sistem kesihatan awam.

"Kita juga berharap agar sumbangan itu dapat membantu pihak klinik kesihatan dan HSAH dalam menampung keperluan berikutan peningkatan bilangan pesakit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, sumbangan itu juga merupakan salah satu inisiatif bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama doktor pakar dan kakitangan hospital.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua pihak digalakkan memberi sumbangan sebagai usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan memberikan bantuan kepada pihak yang terkesan akibat wabak terbabit.