PM mahu enam negeri lebihi 50 peratus kadar vaksinasi

Ismail Sabri (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin, WTCKL pada Ahad.
Ismail Sabri (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin, WTCKL pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan mahu memastikan enam negeri melebihi 50 peratus kadar vaksinasi pada akhir September ini.

Beliau berkata, enam negeri itu membabitkan Terengganu, Perak, Johor, Kelanta, Kedah dan Sabah yang masih mempunyai kadar vaksinasi kurang daripada 50 peratus.

"Ada enam negeri yang masih belum mencapai 50 peratus iaitu Terengganu (46.2 peratus), Perak (46.5 peratus), Johor (44.9 peratus), Kelantan (43.2 peratus), Kedah (43 peratus) dan Sabah paling kurang iaitu 37.1 peratus," katanya pada sidang akhba di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung perkara tersebut.

"Jadi saya nak (enam negeri berkenaan melebihi daripada 50 peratus kadar vaksinasi) sebelum akhir bulan September, kalau boleh lebih awal lagi.

"Semua enam negeri tadi mesti melebihi 50 peratus," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau juga tidak mahu ada sebarang masalah kelewatan berkaitan dengan penghantaran vaksin.

"Saya sudah berbincang dengan KSU bahawa jika ada vaksin yang kita langgan ada masalah dari segi penghantaran, (maka) tidak perlu tunggu pada vaksin tersebut," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan bersedia untuk beralih kepada vaksin yang sedia ada jika vaksin yang dibekalkan itu mengalami masalah kelewatan.

"Sebagai contoh di negara kita ini, Pharmaniaga membuat pembotolan untuk vaksin Sinovak dan mereka sentiasa bersedia dengan vaksin yang sedia ada di kilang mereka.

"Jadi kalau kita ada masalah daripada vaksin lain, tidak sampai atas alasan tidak boleh dibekalkan. Jadi kita beralih terus kepada vaksin yang sudah sedia ada," ujarnya.