X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Dulu pemandu van sekolah, kini penjual pisang goreng

Izham (kanan) menyerahkan bakul makanan dan daging sejuk beku kepada penghantar makanan pada program Sumbangan Bakul Merdeka di sini pada Ahad. Gambar kecil: Siti Fatimah
A
A

AMPANG - Pandemik Covid-19 telah memaksa sepasang suami isteri yang bekerja sebagai pemandu van sekolah beralih arah dengan menjual pisang goreng dan nasi ayam berempah di hadapan rumah mereka di Pandan Indah, di sini kerana hilang sumber pendapatan.

Siti Fatimah Mat Yusof, 50, memberitahu, meskipun dapat menjana pendapatan sekitar RM200 sehari, namun dengan wang tersebut juga mereka perlu melunaskan sewa van bulanan sebanyak RM1,700 selain bil utiliti rumah.

Ibu kepada enam anak yang berumur antara 12 hingga 25 tahun itu sudah 12 tahun bekerja sebagai pemandu van sekolah.

Bagaimanapun, kini, dia dan suami terpaksa berniaga makanan bermula dari jam 11 pagi hingga 6 petang setiap hari demi meneruskan kelangsungan hidupnya sekeluarga.

“Suami pernah jadi pemandu lori dan kontena hampir 28 tahun, namun, sejak tahun lalu dia bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

“Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sekolah, kami hilang sumber pendapatan.

“Sejak itu, kami berniaga pisang goreng dan nasi ayam berempah di depan rumah di Pandan Indah,” katanya ketika menerima sumbangan Bakul Merdeka berhadapan pasar raya bersebelahan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, seorang lagi pemandu van sekolah, Tan Zee Cheau, 44, memberitahu, kini terpaksa bergantung kepada wang simpanannya setelah hilang sumber pendapatan utama.

Zee Cheau
Zee Cheau

Zee Cheau yang tinggal bersama bapa saudaranya di Taman Dagang di sini berkata, sumbangan Bakul Merdeka yang diterimanya pada Ahad dapat menampung perbelanjaan hariannya selama dua minggu.

“Saya bergantung kepada wang simpanan sahaja dan sedikit bantuan daripada kerajaan kerana saya tiada pendapatan berikutan penutupan sekolah.

“Senang sedikit bila dah dapat bantuan sebegini, sekurang-kurangnya boleh jimatkan perbelanjaan saya selama dua minggu,” katanya yang berkerja sebagai pemandu van sekolah sejak sedekad lalu.

Program Sumbangan Bakul Merdeka yang diadakan pada Ahad mengagihkan sekitar 200 bakul makanan kepada kepada penghantar makanan, e-hailing, pemandu teksi dan bas sekolah sempena Bulan Kemerdekaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Ir Izham Hashim berkata, sumbangan tersebut adalah keperluan asas dalam bentuk makanan bernilai RM50 setiap satu selain daging lembu serta kambing sejuk beku.

“Sebenarnya program hari ini adalah untuk penduduk Pandan Indah tapi saya tahu ada yang datang dari Cheras dan Ampang, jadi sempena Hari Kemerdekaan ini kita berikan juga kepada mereka.

“Terdapat lebih 100 penerima bakul makanan pada hari ini, namun ada juga penerima yang kita sudah agihkan ke rumah mereka dan ada yang datang secara terus,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!