Dua lagu baharu sempena Hari Kebangsaan 2021

Mohammad pada sidang akhbar selepas meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Ahad. - Foto Bernama
Mohammad pada sidang akhbar selepas meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Dua lagu baharu bertemakan semangat patriotik akan diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum semasa Sambutan Hari Kebangsaan 2021 Selasa ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek.

*Lagu bertajuk Keluarga Malaysia menampilkan lirik ciptaan Tan Sri Annuar Musa, manakala lagu Menang Bersama pula adalah hasil ciptaan Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail, katanya kepada media selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2021 di sini pada Ahad.

Mohammad berkata, lagu Keluarga Malaysia yang dinyanyikan oleh artis Ara Johari, Masya Masyitah, Putra Muhammad dan Sufi Rashid adalah bagi menyahut aspirasi dan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai Keluarga Malaysia.

"Ia merupakan satu keunikan, walaupun Perdana Menteri baru sahaja memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, maka kita di KKMM telah menyambut konsep itu dengan ciptaan lagu baharu, lagu Keluarga Malaysia," katanya.

Annuar dinamakan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pengumuman pembentukan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lepas dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mohammad berharap kedua-dua lagu baharu termasuk lagu Menang Bersama nyanyian artis Faizal Tahir dapat menyuntik semangat kepada rakyat Malaysia yang masih berjuang dengan pandemik Covid-19.

Mengenai persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2021, Mohammad berkata, walaupun durasi persembahan fizikal itu cuma sekitar 50 minit namun ia dipenuhi dengan acara-acara yang menghiburkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 berkata, berpuas hati dengan perjalanan raptai penuh yang dibuat.

"Kita berdoa semoga cuaca pada 31 Ogos menyebelahi kita sebab kita cuma ada empat persembahan sahaja," katanya dan menambah acara di Dataran Pahlawan Negara bermula pada jam 8 pagi dan rakyat Malaysia boleh menonton dari rumah masing-masing bermula jam 7.30 pagi di saluran TV1 RTM.

Beliau berkata, antara acara persembahan yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan adalah persembahan drumline oleh Angkatan Tentera Malaysia, kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, pancaragam gabungan anggota uniform dan persembahan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia. - Bernama