X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Lajim, individu berjasa mencorakkan hala tuju Bersatu: Muhyiddin

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital KPJ, Kota Kinabalu, Sabah jam 6.23 pagi Ahad, dan jenazahnya disemadikan di kampung halamannya di Kampung Kebatu, Beaufort.
A
A

KUALA LUMPUR - Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin merupakan ahli politik berpengalaman, yang banyak berjasa mencorakkan hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka tabah, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemergian Lajim, 66, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu merupakan satu kehilangan buatnya.

“Allahyarham adalah seorang sahabat dan rakan seperjuangan yang saya kenali sejak sekian lama, serta pernah bersama-sama berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini. Mewakili parti dan Perikatan Nasional saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Allahyarham.

“Sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah. Semoga amalan baik Allahyarham mendapat ganjaran daripada ALLAH SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam catatan di Facebook pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Lajim meninggal dunia akibat Covid-19

Ismail Sabri ucap takziah kepada keluarga Lajim

Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital KPJ, Kota Kinabalu, Sabah jam 6.23 pagi Ahad, dan jenazahnya disemadikan di kampung halamannya di Kampung Kebatu, Beaufort.

Sepanjang hayatnya, Lajim pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen Beaufort dan Dewan Undangan Negeri Klias, selain pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan antaranya Timbalan Menteri Pengangkutan serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun media sosialnya turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, dan mendoakan supaya ALLAH SWT mengampuni dosanya dan menempatkannya bersama orang yang beriman. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!