Nekad suntik vaksin selepas ibu pulih dari Covid-19

Syuaibattul Rabiatul Addawiyah
Syuaibattul Rabiatul Addawiyah
A
A
A

LUMUT - Perbezaan antara individu yang lengkap vaksin dan tidak hingga meragut nyawa telah membuka hati seorang wanita untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Syuaibattul Rabiatul Addawiyah Jaafar Sidek, 25, berkata, keadaan itu terjadi kepada ibunya, Fauziah Rafie, 55 dan ibu kepada rakannya berusia 54 tahun telah mendorong dirinya betapa pentingnya vaksin Covid-19.

"Saya melakukan solat hajat memohon petunjuk untuk mengambil vaksin, keesokan hari, ibu disahkan positif dan kami menjalani kuarantin bersama. Ibu nampak tidak risau apabila dia sudah lengkap menerima vaksin.

"Pada masa sama, ibu kepada rakan saya turut positif, namun empat hari lalu dia meninggal dunia akibat Covid-19. Arwah tidak sempat ambil vaksin. Mungkin ini petunjuk yang ALLAH berikan dan di situ saya boleh nampak berbezaannya," katanya ketika ditemui pada program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh di sini pada Ahad.

Menurutnya, dia bukanlah antivaksin tetapi tiada keyakinan dan belum bersedia untuk menerima imunisasi tersebut.

"Saya bukan tidak mahu tetapi saya ragu-ragu dan mahu melihat terlebih dahulu. Apabila rakan ajak untuk daftar menerusi MySejahtera saya biarkan sahaja. Malah, saya banyak berfikir keberkesanan vaksin hasil daripada pembacaan.

"Apabila sudah terjadi pada ibu saya sendiri dengan dia boleh terus mengaji al-Quran tanpa masalah, saya terus yakin dan dipermudahkan untuk ambil vaksin," katanya.

Sementara itu, Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, program yang dijalankan itu berjaya membantu kira-kira 300 penduduk sekitar Teluk Muroh menerima suntikan dos pertama AstraZeneca.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Rumah Ngaji Teluk Muroh adalah yang pertama dalam negara yang menjalankan program berkenaan bagi membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok.

"Kami terpanggil untuk membantu penduduk dapatkan suntikan dengan mencari nama agar tiada yang tercicir dalam program vaksinasi ini. Respons yang diberikan penduduk amat positif.

"Program yang berlangsung selama sehari ini akan disambung semula untuk menerima dos kedua pula pada Oktober nanti," katanya.

Maziah berkata, program itu mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung, Mercy Malaysia Perak Chapter, Sukarelawan Rumah Ngaji, Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Komuniti Teluk Muroh) dan Pejabat Ahli Parlimen Lumut.