PRK: Suhaizan nekad dapatkan majoriti besar

Suhaizan
Suhaizan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) bagi kerusi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat nekad bukan sahaja untuk menang tetapi meraih majoriti besar pada pilihan raya kecil (PRK), 9 September ini.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mengakui akan berdepan tugas berat dan tanggungjawab besar, namun akan berusaha memberi sepenuh komitmen bagi memastikan kerusi itu kekal milik Parti Amanah Negara (Amanah).

Walaupun tidak pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini, beliau yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor optimis penglibatannya secara langsung dalam arena politik dan menjadi Ketua Amanah Kawasan Pulai sejak 2015 dapat membantu.

"Saya faham ini adalah tugas yang berat kerana membawa satu amanah menyambung legasi dan usaha yang dilaksanakan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Parlimen Pulai.

"Kita melihat Pulai satu Parlimen yang telah dimenangi PH, jadi kita hendak kekalkan dengan majoriti yang meyakinkan untuk terus beri sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Outreach Sara Hidup di bawah inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional Peringkat Negeri Johor 2023 di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali serta Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Suhaizan diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi Parlimen Pulai oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Suhaizan pernah bertanding di Parlimen Parit Sulong pada 2004, Parlimen Simpang Renggam (2013), Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup (2018) dan DUN Pulai Sebatang (2022).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Salahuddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN) yang memperoleh 31,726 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong memperoleh 20,677 undi.

PRK dilaksanakan susulan kekosongan luar jangka kerusi itu berikutan kematian Salahuddin pada 23 Julai lalu.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos depan, 5 September pengundian awal dan 9 September hari mengundi untuk kedua-dua PRK itu.

Mengulas lanjut, Suhaizan yang pernah menggalas jawatan Setiausaha Politik kepada Salahuddin berkata, pesanan Allahyarham yang mahu pegawainya turut sama bekerja serta berkhidmat untuk rakyat akan sentiasa menjadi kata-kata semangat buat dirinya.

Suhaizan berkata, Allahyarham pernah berseloroh tidak mahu mempertahankan lagi kerusi Parlimen Pulai selepas PRU15 dan itu dianggapnya sebagai antara petanda 'pemergiannya'.

"Bagi kami, Pulai adalah kawasan yang sesuai untuk Allahyarham dan apabila beliau bercakap tentang kerusi yang mahu dilepaskan, ia adalah perkara yang luar biasa, tetapi kami tidak sangka ia benar berlaku," katanya.