X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

PM perlu ambil serius pendedahan pegawai tertinggi PDRM

Faiz Fadzil
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan dua isu besar oleh pegawai tertinggi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diambil serius pihak kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berpandangan, pendedahan itu mencemar imej PDRM yang berpegang kepada prinsip integriti walaupun rakyat menyanjung pengorbanan pasukan polis menjaga keamanan negara terutama ketika pandemik Covid-19.

"Namun, imej PDRM sebagai salah satu institusi demokrasi dalam negara perlu dipulihkan dan ditambah baik supaya janji Perdana Menteri ke sembilan untuk melaksanakan reformasi institusi bukan sekadar umpan politik," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada 30 April lalu, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Polis Negara, menyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) cuba mempengaruhi pengurusan PDRM dalam proses pertukaran pegawai kanan.

Faiz yang juga seorang peguam berkata, rentetan itu, tular satu audio perbincangan penukaran jawatan pegawai kanan polis yang diakui Hamzah sebagai suara beliau.

"Pada 28 Ogos (Sabtu) pula, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan terdapat anggota polis di Johor terlibat dengan kes dadah.

"Menurut beliau (Ayob Khan) statistik tahun 2020 menunjukkan seramai 56 orang anggota polis didakwa di mahkamah termasuk melibatkan kes pengedaran dadah dan bagi 2021 pula, seramai 27 anggota polis didakwa setakat ini.

"Angka ini agak tinggi dan amat membimbangkan bagi sebuah pasukan keselamatan, apatah lagi badan yang berkuasa membasmi jenayah dadah," katanya.

Beliau sehubungan itu berkata, Perdana Menteri perlu segera mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat dan mengenal pasti segala isu dan kepincangan berlaku dalam PDRM secara bebas dan menyeluruh supaya keyakinan rakyat terhadap integriti PDRM dipulihkan.

Menurut Faiz, penubuhan RCI juga berkeupayaan dan berautoriti untuk memberikan syor-syor pemulihan dan penambahbaikan PDRM.

"PDRM perlu diuruskan secara profesional dan bebas daripada pengaruh politik dan anasir jenayah dan negara akan lebih stabil apabila kesucian institusi-institusi demokrasi negara termasuk PDRM dipelihara," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!