Dua lelaki menyamar polis untuk samun diberkas

Baju seragam PDRM turut dirampas dalam serbuan di Kampung Klang Gate Baharu, Ampang pada Jumaat.
Baju seragam PDRM turut dirampas dalam serbuan di Kampung Klang Gate Baharu, Ampang pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Dua individu yang disyaki menyamar sebagai pegawai polis sebelum menyamun diberkas dalam serbuan di Kampung Klang Gate Baharu di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun pada 16 Ogos lalu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun sedang menunggang motosikal melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) telah ditahan oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 warna biru dan putih.

"Lelaki dipercayai warga tempatan itu memperkenalkan diri sebagai anggota polis. Suspek kemudian membuat pemeriksaan ke atas badan dan beg silang milik mangsa serta mengarahkan mangsa menolak motosikal ke tepi," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek kemudian telah bertindak mengambil beg silang dan kunci motosikal mangsa.

"Mangsa turut diugut dicederakan sekiranya barangan mangsa tidak diserahkan kepada suspek.

"Mangsa mengalami kerugian wang tunai berjumlah RM700, telefon bimbit dan pelbagai dokumen peribadi," katanya.

Menurutnya, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9 Ampang Jaya bersama JSJ D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor memberkas dua suspek di Kampung Klang Gate Baharu di sini pada jam 10.30 malam Jumaat.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek lelaki tempatan berumur 36 dan 40 tahun tidak bekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semakan mendapati kedua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah.

"Suspek pertama mempunyai 17 rekod lampau dalam pelbagai kesalahan jenayah seperti samun, curi dan menyamar polis.

"Suspek kedua mempunyai 13 rekod lampau dalam pelbagai kesalahan jenayah antaranya khianat, merusuh, curi kenderaan dan kes dadah dan hasil ujian air kencing kedua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine," jelasnya.

Ujar beliau, pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk menjalankan jenayah samun turut dirampas.

"Antara barangan yang dirampas ialah pelbagai telefon bimbit, topi keledar warna biru serta pelbagai barangan peribadi milik mangsa.

"Turut dirampas ialah pelbagai barangan dan kelengkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti uniform, logo, songkok, gari, topeng muka, dua buah motosikal Yamaha serta sebuah kereta jenis Proton Perdana yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan," katanya.

Mohamad Farouk berkata, modus operandi suspek untuk melakukan kegiatan samun dengan menyamar polis.

"Fokus suspek kepada mangsa atau individu remaja yang bersendirian di kawasan sunyi dan kurang tumpuan orang ramai. Setelah suspek mendapatkan barangan berharga milik mangsa, dia akan terus melarikan diri.

"Dengan tangkapan berkenaan, polis percaya dapat menyelesaikan satu kes di Ampang dan empat kes di Gombak dan Setapak," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952," katanya.