Nasib petani terjejas akibat tragedi kepala air terbela

Haslina meninjau tanaman petani yang rosak akibat bencana kepala air yang melanda penduduk pada 18 Ogos lalu.
Haslina meninjau tanaman petani yang rosak akibat bencana kepala air yang melanda penduduk pada 18 Ogos lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membaik pulih 34 hektar sawah padi di daerah Yan yang musnah akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos lalu.

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, sawah yang terjejas itu melibatkan kawasan di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir di daerah berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana tersebut pada Selasa lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM495,000 akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.

"Sejumlah RM555,000 pula akan digunakan untuk membaik pulih sawah yang melibatkan kerja-kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, pitaran tanah sawah, perataan tanah dan pemulihan kesuburan tanah," katanya ketika meninjau kawasan bencana di Yan dan Kuala Muda pada Sabtu.

Haslina (tengah) menyampaikan bantuan Bakul Makanan MAFI Prihatin kepada petani yang terjejas.
Haslina (tengah) menyampaikan bantuan Bakul Makanan MAFI Prihatin kepada petani yang terjejas.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Selain itu, Haslina berkata, peruntukan sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar.

Artikel Berkaitan:

"MAFI dengan kerjasama jabatan dan agensi khususnya MADA, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga sedang menggerakkan segala jentera dalam usaha untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan terjejas," jelas beliau.

Haslina (tengah) melihat kawasan sawah padi yang musnah ketika melawat kawasan bencana di Yan dan Kuala Muda pada Sabtu.
Haslina (tengah) melihat kawasan sawah padi yang musnah ketika melawat kawasan bencana di Yan dan Kuala Muda pada Sabtu.

Tambah Haslina, kerosakan keseluruhan bencana khususnya sektor tanaman lain selain padi termasuk ternakan dan perikanan dalam daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000.

"Nilai kerosakan ini meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan pula membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000," katanya.

Selain tinjauan ke kawasan bencana, Haslina turut menyampaikan sebanyak 100 Bakul Makanan MAFI Prihatin yang merupakan inisiatif kementerian dalam membantu golongan petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana tersebut.

Haslina (kiri) bertemu penduduk yang terjejas dalam bencana kepala air pada 18 Ogos lalu.
Haslina (kiri) bertemu penduduk yang terjejas dalam bencana kepala air pada 18 Ogos lalu.