Hilangnya tokoh perkhidmatan awam negara, Tun Ahmad Sarji

Ahmad Sarji. - Foto Bernama
Ahmad Sarji. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negara pada Sabtu kehilangan Tun Dr Ahmad Sarji Abdul Hamid, seorang tokoh perkhidmatan awam yang amat disegani dan dihormati.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 82 tahun di sebuah hospital pada 1.40 pagi tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah II, Bukit Kiara kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dilahirkan pada 16 September 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Government English School di Tapah dan pernah melanjutkan pelajaran sehingga peringkat Sarjana di Universiti Harvard, Amerika Syarikat dalam bidang Pentadbiran Awam.

Ahmad Sarji, memulakan kerjayanya dalam pentadbiran awam dengan menyertai Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah Klang, Selangor pada 10 Januari 1961.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah Rembau pada 1963 sebelum dilantik sebagai Pegawai Daerah Port Dickson pada 1964 dan memegang jawatan itu hingga 1967.

Pada 1968, Ahmad Sarji diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah (Perkhidmatan) Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum dilantik sebagai Setiausaha (Bahagian Kabinet) Jabatan Perdana Menteri pada 1972.

Selepas itu, Ahmad Sarji dilantik menerajui beberapa agensi kerajaan termasuk sebagai Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (1973-1979) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 1981 seterusnya Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1981 hingga 1985.

Ahmad Sarji kemudian dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan dan Industri pada 1985 hingga 31 Januari 1990.

Artikel Berkaitan:

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam berada di puncak apabila dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara mulai 1 Februari 1990 sehingga bersara pada 1993.

Walaupun bersara, pada 16 September 1993, beliau terus berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara untuk tempoh dua tahun kontrak yang berakhir pada 1995, namun perkhidmatan beliau dilanjutkan setahun lagi hingga 15 September 1996.

Tidak hanya menyandang jawatan dalam Perkhidmatan Awam, Ahmad Sarji turut pernah memegang beberapa jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan terkemuka di dalam negara.

Antaranya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas (1985-1990), Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) (1985), Pengerusi Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) (1992), dan Pengerusi Sime Darby Bhd (1998).

Jawatan lain yang pernah disandang oleh Ahmad Sarji adalah pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992, sebelum dilantik semula sebagai pengerusi keenam dan ketujuh untuk tempoh dua tahun pada 2004 dan 2006. Pada 2008, beliau sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi IKIM sebelum meletak jawatan, namun kembali menjawat jawatan itu pada 2019 sehingga kini.

Bekas Ketua Setiausaha Negara itu juga pernah menyandang jawatan sebagai Pro-Canselor di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) pada 2003 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2006, serta Canselor Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) (2012).

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Pelbagai penganugerahan telah diterima oleh Allahyarham termasuk Tokoh Maal Hijrah 1420 Hijrah; Anugerah Kepimpinan Sukan oleh Anugerah Sukan Kebangsaan; Anugerah Perdana Tun Sri Lanang Tokoh Buku Negara; Pingat Emas Kehormat 2012 oleh Kelab Rotary Diraja Kuala Lumpur; Pingat Peringatan Queen Victoria oleh Perhimpunan Perniagaan Eropah; dan dinobatkan sebagai Ikon Sukan - Anugerah Sukan Negara 2015.

Ahmad Sarji dianugerahkan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSN) yang membawa gelaran Tun pada Jun 2008.

Bagi kehidupan peribadi Ahmad Sarji, beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Toh Puan Sagiyah Salikin pada Disember 1962 dan dikurniakan lima cahaya mata. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Tun Ahmad Sarji meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN:Jenazah Allahyarham Tun Ahmad Sarji selamat dikebumikan