Keluarga Malaysia kehilangan tokoh dihormati, disegani

Ismail Sabri menyifatkan pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang kembali ke rahmatullah awal pagi Sabtu sebagai satu kehilangan besar buat negara. - Foto FB Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri menyifatkan pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang kembali ke rahmatullah awal pagi Sabtu sebagai satu kehilangan besar buat negara. - Foto FB Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SHAH ALAM - Pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang kembali ke rahmatullah awal pagi Sabtu disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kemaskini di Facebooknya berkata, Keluarga Malaysia kehilangan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati dan disegani.

"Selaku mantan Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham cukup sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkat imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam, bahkan komited menyumbang idea dan kepakaran termasuk dalam sektor pendidikan walaupun setelah bersara.

"Sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-Raja, Allahyarham juga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam di dalam negara," katanya.

Menurutnya, pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang negarawan merupakan suatu kehilangan besar buat negara.

"Jasa bakti Allahyarham akan terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sampai bila-bila.

"Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diangkat darjatnya bersama para anbia. Al-Fatihah," katanya

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Tun Ahmad Sarji meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN:Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji