KPM bangunkan kelas khas murid autisme mulai tahun depan

SEPANG – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan perancangan pembangunan kelas pendidikan berkeperluan khas bagi pelajar autisme tahun depan bagi memastikan murid dalam kategori itu mendapat pendekatan pembelajaran yang lebih khusus.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, inisiatif berkenaan dirangka berdasarkan peningkatan jumlah murid autisme serta keperluan memberikan perhatian lebih khusus terhadap kategori berkenaan.
Menurutnya, pendekatan pendidikan untuk murid autisme perlu mengambil kira pandangan pakar dalam bidang pendidikan khas, selain disesuaikan dengan keperluan mereka.
“Berdasarkan pandangan-pandangan pakar-pakar dalam bidang pendidikan khas ini, autisme ini perlukan ada satu 'treatment' atau inisiatif yang khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Taklimat Kementerian Pendidikan Bersama Media di sini.
Mohd Azam berkata, KPM turut melihat peningkatan jumlah murid autisme berdasarkan data yang diperoleh, sekali gus mendorong kementerian memberikan tumpuan lebih kepada keperluan pendidikan kumpulan berkenaan.
“Jika dilihat dari segi data, jumlah pelajar autisme semakin meningkat dan kita perlumemberikan perhatian yang lebih fokus kepada ini dulu," jelas beliau.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KPM turut merancang menambah bilangan bilik darjah pendidikan khas bagi memberikan peluang pendidikan lebih sempurna kepada murid berkeperluan pendidikan khas.
Bagaimanapun, penambahan bilik darjah itu turut melibatkan keperluan penyediaan guru bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat berfungsi mengikut perancangan.
Mohd Azam berkata, semua perancangan berkaitan pendidikan khas itu diselaraskan menerusi bahagian berkaitan, khususnya Bahagian Pendidikan Khas yang bertanggungjawab merancang dan menguruskan bidang berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sekolah Sukan Pendidikan Khas pertama negara yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dijangka mula mengambil pelajar Tingkatan 1 tahun depan.
Menurutnya, kerja pembinaan sekolah berkenaan hanya berbaki kira-kira satu hingga dua peratus sebelum diserahkan kepada KPM, tertakluk kepada kesediaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Sebenarnya kami merancang untuk diserahkan dalam tahun ini tetapi kita lihat di peringkat JKR sama ada mereka sudah bersedia ataupun tidak. Jadi pengambilan pelajar mungkin kita akan mula daripada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, sekolah berkenaan membuka peluang kepada murid pendidikan khas mengembangkan potensi dalam bidang sukan, selain berupaya menyumbang kepada pencapaian negara pada peringkat antarabangsa, termasuk Sukan Paralimpik.
Menurutnya, murid pendidikan khas juga perlu diberikan peluang mendapat pendidikan berkualiti dan tidak dipinggirkan daripada usaha melahirkan insan seimbang seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

