PAC dedah RDCI negara membimbangkan, kerajaan tanggung kerugian

Mas Ermieyati ketika mengadakan sidang akhbar berkenaan penyata RDCI di bangunan Parlimen, di sini pada Selasa.
Mas Ermieyati ketika mengadakan sidang akhbar berkenaan penyata RDCI di bangunan Parlimen, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mendedahkan ekosistem Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) negara kini berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia akibat kepincangan tadbir urus, kelemahan perancangan strategik, dan defisit kepimpinan teknikal yang berisiko merencatkan daya saing teknologi perindustrian Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, secara kritikal kerajaan menanggung pelbagai ketirisan dan kerugian yang berpunca daripada kegagalan agensi-agensi untukmengoptimumkan instrumen pendanaan secara cekap.

“Antara kelemahan sistemik yang telah dikenal pasti oleh PAC adalah prestasi Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) sekadar mencatatkan 1.01 peratus jauh tersasar daripada matlamat 2.5 peratus manakala status Malaysia di tangga ke-34 dalam Global Innovation Index (GII) mencerminkan kegagalan negara.

“Selain itu, terdapat baki geran penyelidikan berjumlah RM183.11 juta di 11 agensi pelaksana yang gagal dipulangkan, dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT ) secara kumulatif mencatatkan baki dana terkumpul yang terbiar melebihi RM225 juta selama hampir dua dekad.

“Seterusnya, berlaku kehilangan 19 unit prototaip perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang tidak dapat dikesan,” ujarnya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, di sini pada Selasa.

Tambah Mas Ermieyati, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga didapati membelanjakan sejumlah RM33.80 juta (26.9%) daripada dana RDCI untuk perbelanjaan mengurus (OE).

Jelasnya, PAC amat kecewa dan memandang serius isu pengurusan program RDCI yang lemah oleh kementerian serta agensi yang melibatkan wang rakyat bernilai berbilion ringgit.

“Kegagalan ini merugikan negara dan menunjukkan tahap kebertanggungjawaban yang rendah di peringkat pengurusan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan tidak boleh lagi sekadar meluluskan peruntukan tanpa memantau kejayaan dan hasil sebenar sesuatu projek.

“Tindakan membiarkan ratusan juta dana awam terbiar, pembaziran akibat kekurangan kerjasama dan komunikasi di antara kementerian dan agensi, serta kecuaian mengurus aset dan hak cipta merupakan satu pengkhianatan kepada amanah negara,” katanya.

Beliau turut mendesak kerajaan supaya bertindak tegas tanpa kompromi dan mengambil inisiatif bagi melestarikan ekosistem RDCI negara seterusnya mencapai taraf negara pembangun teknologi terkemuka di peringkat global.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!