1,485 PATI ditahan dalam operasi bersepadu

Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,485 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dilancarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara mulai tengah malam tadi.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata tangkapan itu hasil pemeriksaan JIM dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam ke atas 3,750 warga asing.

"Operasi yang dijalankan Ibu Pejabat JIM pula telah berjaya menahan 218 PATI daripada 418 yang diperiksa di sebuah pusat hiburan dan dua kediaman sekitar Lembah Klang atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan sebanyak 2,646 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan memeriksa seramai 40,321 orang sejak 1 Jan hingga Khamis lepas.

Dari jumlah itu, seramai 9,452 PATI daripada pelbagai warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tinggal lebih masa, memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Khairul Dzaimee berkata seramai 176 majikan turut ditahan sepanjang tempoh berkenaan manakala 151 majikan telah didakwa dan diambil tindakan.

"Daripada keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu seramai 3,261 diikuti Bangladesh seramai 2,378, Filipina 849, Myanmar 868 dan bakinya adalah dari lain-lain negara," katanya.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri melalui JIM menegaskan akan mengambil segala langkah yang perlu dan tindakan tegas untuk menangani isu-isu berkaitan PATI.

Katanya kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan majikan dan pekerja asing mematuhi undang-undang negara.

Langkah tegas itu katanya perlu diambil bagi mengatasi masalah lambakan PATI di negara ini.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia