Razi Batik, bangga hasil tangan jadi pilihan delegasi paralimpik

Mohd Shairazi atau lebih dikenali dengan Razi Batik tidak menyangka bakat serta kesungguhannya selama ini dalam mengangkat martabat khazanah negara disedari oleh Jawatankuasa Paralimpik negara.
Mohd Shairazi atau lebih dikenali dengan Razi Batik tidak menyangka bakat serta kesungguhannya selama ini dalam mengangkat martabat khazanah negara disedari oleh Jawatankuasa Paralimpik negara.
A
A
A

BAKAT semula jadi serta minat yang menebal dalam kesenian batik membawa tuah kepada anak jati kelahiran Kampung Tebing dekat Pengkalan Kubor, Tumpat, apabila diberi kepercayaan sebagai pereka fesyen untuk pakaian delegasi Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Mohd Shairazi Kadir, 43, atau lebih dikenali dengan Razi Batik tidak menyangka bakat serta kesungguhannya selama ini dalam mengangkat martabat khazanah negara disedari oleh Jawatankuasa Paralimpik negara.

"Saya sebenarnya terkejut apabila dipanggil untuk temu duga oleh Presiden Paralimpik negara untuk melaksanakan kerjasama bagi membuat rekaan sut bagi kontinjen negara.

“Bagaimanapun, dalam perjumpaan itu saya beritahu sut sebenarnya sudah terlalu biasa. Ketika itulah saya lontarkan idea dengan mengesyorkan agar pemakaian atlet bertemakan batik dan tidak menyangka ia dipersetujui," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Mengulas lanjut Razi berkata cabaran paling besar bagi dirinya adalah ‘masa’ kerana kesemua 150 helai pakaian atlet itu perlu disiapkan dalam tempoh tiga minggu sebelum kesemua atlet berlepas ke Tokyo.

Jelasnya kesemua logo Paralimpik Tokyo 2020 di baju atlet itu dilukis dengan tangan dan memerlukan ketelitian dan logonya perlu ‘terletak’ di tengah-tengah baju.

Razi berkata, baju rekaannya itu akan dipakai oleh atlet ketika bertolak dan selepas kembali dari Sukan Paralimpik.

"Cabaran lain ketika itu adalah kesukaran mendapatkan material kerana kebanyakan kedai ditutup berikutan pandemik Covid-19 manakala pekerjanya pula tidak dibenarkan menjahit beramai-ramai.

Artikel Berkaitan:

“Ketika itulah saya terpaksa mengarahkan pekerja menyiapkannya secara individu di rumah masing-masing kerana itu sahaja cara paling selamat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya yang berasal daripada keluarga pembuat batik tradisional di Kelantan.

Menurut bekas pelajar sekolah agama di Tumpat dan Kubang Kerian itu, baju atlet yang dihasilkannya juga agak istimewa kerana butang baju turut berwarna hijau, biru dan merah iaitu warna tema logo Paralimpik negara selain fabriknya adalah 100 peratus satin kapas untuk lebih keselesaan.

Mengulas lanjut, Razi yang juga anak ketiga daripada 11 beradik memberitahu sebelum ini dia banyak mereka corak batik untuk dijadikan kemeja khusus kepada golongan kenamaan termasuk pembesar negara antaranya Sultan Johor.

"Seingat saya, selepas pasukan saya mendapat tempat kedua dalam pertandingan rekaan batik Piala Seri Endon pada 2006 di bawah Yayasan Penyayang, saya tidak menoleh ke belakang lagi.

“Projek saya seterusnya adalah pada 31 Ogos ini, kesemua pembaca berita di stesen televisyen Media Prima akan memakai batik eksklusif rekaan saya dan diharap ia akan berjaya mengangkat martabat batik kembali," katanya yang kini menetap di Ampang, Kuala Lumpur bersama isteri, Rufizah Ibrahim dan tiga anak lelaki.

Jelasnya, walaupun pernah ‘jatuh’ teruk akibat pandemik Covid-19 dia merancang membuka sebuah butik di Hotel Primera, Kuala Lumpur dengan kerjasama Mara.

"Walaupun sumbangan saya ini tidak seberapa namun saya tetap berbangga kerana teknik batik diserapkan dalam pemakaian atlet kebangsaan," katanya. - Bernama