Rekod Pochettino tak cantik

PELANTIKAN Mauricio Pochettino sebagai ketua jurulatih baharu Manchester United hadir bersama satu rekod yang boleh dianggap amaran awal buat kelab gergasi England itu.
Pengendali Argentina berusia 54 tahun berkenaan hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan akhir sepanjang karier kejurulatihannya, manakala lima lagi berakhir dengan kekalahan.
Rekod itu pastinya mengundang persoalan memandangkan United melantik Pochettino dengan harapan beliau mampu mengembalikan budaya kemenangan dan membantu kelab itu kembali memburu kejuaraan utama.
Lebih membimbangkan, kegagalan tersebut berlaku ketika beliau mengendalikan tiga pasukan berbeza iaitu Tottenham Hotspur, Chelsea dan skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS).
Ketika bersama Tottenham, Pochettino tewas 0-2 kepada Chelsea dalam final Piala Liga Inggeris 2015 sebelum impian menjulang Liga Juara-Juara 2019 turut berkecai apabila Liverpool menewaskan mereka dengan keputusan sama.
Peluang menamatkan kemarau kejuaraan bersama Chelsea juga tidak kesampaian apabila The Blues tewas 0-1 kepada Liverpool dalam final Piala Liga Inggeris 2024.
Gol Virgil van Dijk pada minit ke-118 ketika masa tambahan menjadi pemisah dalam perlawanan yang menyaksikan Chelsea gagal memanfaatkan peluang untuk membawa pulang trofi.
Terbaharu, Pochettino turut gagal menghadiahkan kejuaraan Piala Emas CONCACAF kepada AS apabila tewas 1-2 kepada Mexico pada final 2025, meskipun pasukannya terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Chris Richards.
Bagaimanapun, rekod itu tidak menggambarkan keseluruhan perjalanan Pochettino apabila beliau pernah memenangi tiga trofi bersama Paris Saint-Germain (PSG), termasuk gelaran Ligue 1 pada musim 2021/2022.
Beliau turut membantu gergasi Perancis itu menjulang Trophee des Champions dan Coupe de France pada 2021.
Namun, cabaran di Old Trafford mempunyai tuntutan tersendiri apabila United sinonim dengan kejayaan dan penyokongnya mengharapkan kehadiran Pochettino mampu membawa perubahan terhadap nasib kelab.
Dengan lima kekalahan daripada tujuh final, keupayaan pengendali itu menguruskan tekanan dalam perlawanan penentuan trofi pastinya menjadi antara persoalan yang perlu dijawab.
Pochettino kini mempunyai peluang untuk mengubah persepsi tersebut, namun ukuran sebenar kejayaannya di Old Trafford tetap bergantung kepada keupayaan menghadiahkan trofi kepada United.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
