22,070 kes Covid-19 direkodkan hari ini

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 22,070 kes baharu positif Covid-19 pada Khamis.

Empat negeri yang merekodkan kes tertinggi adalah Selangor (5,920), Sabah (3,010), Sarawak (2,224) dan Kedah (2,072).

Pulau Pinang mencatatkan 1,829 kes diikuti Johor (1,809) dan Kelantan (1,051).

Empat negeri melaporkan jangkitan tiga angka iaitu Perak (939), Pahang (610), Melaka (589) dan Negeri Sembilan (338), sementara Perlis (76), Putrajaya (39), dan Labuan (lapan).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah yang dilaporkan, sebanyak 412 kes adalah daripada kategori tiga hingga lima.

"Sebanyak 21,658 kes pula atau 98.1 peratus adalah kategori satu dan dua," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, 17,029 kes atau 77.2 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

"Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peningkatan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara ini adalah 1,662,913 kes.

"Sebanyak 265,695 kes aktif di seluruh negara dengan 982 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 470 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, KKM merekodkan 339 kes kematian membabitkan 289 rakyat tempatan dan 50 warga asing.

"Daripada jumlah kes kematian itu, terdapat 99 kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) iaitu 74 rakyat tempatan dan 25 warga asing," katanya.

Oleh yang demikian, jumlah keseluruhan kes kematian meningkat kepada 15,550 kes.

Ujarnya, sebanyak 21,877 kes sembuh harian turut dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhannya, 1,381,668 kes.

Sementara itu, sebanyak 28 kluster baharu telah dikenal pasti KKM membabitkan 15 kluster komuniti dan 12 kluster tempat kerja serta satu kluster pusat tahanan.

"Jumlah keseluruhan kluster adalah 4,611 yang mana 3,144 daripadanya telah diisytiharkan tamat.

"Bakinya, 1,467 kluster masih aktif," katanya.