Mangsa banjir alami kerugian ternakan mati

Mohammad Nasir memberi makanan kepada ayam ternakannya yang terselamat dalam kejadian banjir.
Mohammad Nasir memberi makanan kepada ayam ternakannya yang terselamat dalam kejadian banjir.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kejadian banjir yang melanda sekitar Mukim Beriah, Alor Pongsu di sini menyebabkan seorang penternak mengalami kerugian lebih RM1,500 apabila ternakan ayam yang diusahakan mati.

Mohammad Nasir Ismail, 41 berkata, kejadian yang pertama kali berlaku dalam tempoh 18 tahun itu menyebabkan kediamannya di Kampung Tersusun Batu 6 1/2, Matang Pasir di sini turut dipenuhi lumpur.

Menurutnya, lebih 20 ekor ayam arab yang diusahakan tahun lalu secara kecil-kecilan mati selain turut dimakan ular sawa.

"Sebaik terima video kejadian ban pecah di Sungai Beriah pada pagi Jumaat lalu di laman sosial, saya sudah jangka air pasti akan naik di kawasan ini.

"Jadi saya mengambil langkah awal dengan meletakkan reban ayam di kawasan tinggi, namun air naik dengan mendadak menyebabkan saya tidak sempat untuk melihat reban.

"Apabila air mula surut pada Rabu, saya dapati ayam ternakan ada yang mati di kawasan kelapa sawit berhampiran sebelum saya menanam bangkai-bangkai itu," katanya ketika ditemui pada program Misi Bantuan Banjir Perak pada Jumaat.

Penduduk menaiki motosikal membawa sampah dan peralatan rumah yang rosak akibat banjir untuk dibuang.
Penduduk menaiki motosikal membawa sampah dan peralatan rumah yang rosak akibat banjir untuk dibuang.

Dia yang mula menternak ayam sebagai hobi sebelum menjadikannya sebagai pendapatan sampingan kini membaiki semula reban dan menabur kapur untuk meneutralkan kawasan bagi mengelakkan penyakit seperti hama.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua ayam-ayam ini adalah untuk pasaran setempat seperti daerah Taiping dan Kuala Kangsar serta Gelugor, Pulau Pinang. Saya memperoleh sehingga RM1,000 setiap bulan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Setia Negara, Dr Afif Bahadin, berkata seramai 60 ahli dengan kerjasama Sukarelawan Pemuda Negara ditugaskan membantu membersihkan kediaman penduduk yang terjejas akibat lumpur banjir di Alor Pongsu dan Changkat Lobak.

Beliau berkata, selain kerja-kerja pembersihan pihaknya turut menyalurkan bantuan berupa barangan dan pakaian perlindungan diri (PPE) di dua pusat pemindahan sementara (PPE) di kawasan ini.

"Usaha ini dijalankan bagi meringankan beban mangsa yang menghadapi kekangan peralatan dan tenaga untuk mencuci kediaman mereka.

"Sukarelawan kami sentiasa bersedia untuk turun ke kawasan yang berdepan bencana alam termasuk kejadian terbaharu fenomena kepala air di Yan, Kedah, baru-baru ini," jelasnya.