Empat projek mega ternakan ayam pedaging dilaksana Felcra

Ahmad Zahid. - Foto Bernama.
Ahmad Zahid. - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak empat projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad di kawasan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi menampung keperluan bekalan makanan dalam negara serta berpotensi mengubah landskap sebuah pekan kecil atau desa kepada persekitaran berkualiti.

"Ia melibatkan Tanjung Seratus, Kuala Rompin dengan kapasiti 300,000 ekor ayam bagi setiap pusingan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Selain itu, tiga projek mega lagi di Sungai Damak, Lipis Pahang, Padang Terap Kedah, dan Paloh 4 Gua Musang Kelantan pula membabitkan masing-masing 250,000 ekor ayam bagi setiap pusingan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, projek berkenaan dapat menjana pelbagai aktiviti ekonomi setempat seperti perkhidmatan dan penyelenggaraan, kerja-kerja landskap, pembekalan, pembinaan, kontrak dan sebagainya.

"Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada generasi warga peserta untuk membina kerjaya serta menjana pendapatan selain dapat mengisi kekosongan jawatan yang akan ditawarkan," ujar beliau.

Menurutnya, projek itu juga merupakan kesinambungan dalam usaha kerajaan untuk terus meningkatkan taraf kehidupan rakyat melalui Pelan transformasi FELCRA 2.0 dan seterusnya memperkukuhkan ekonomi negara secara keseluruhannya.

"Isu keterjaminan makanan akan menjadi satu elemen penting dalam usaha berterusan bagi memastikan perancangan rantaian bekalan di dalam negara terus berdaya tahan sekali gus dapat memberikan kelangsungan kehidupan kepada seluruh rakyat," katanya.