Muip peruntuk lebih RM830,000 bantu pesakit kronik

Dr Asmadi meninjau salah satu premis membekal peralatan perubatan di Indera Mahkota di sini pada Khamis.
Dr Asmadi meninjau salah satu premis membekal peralatan perubatan di Indera Mahkota di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memperuntukkan lebih RM830,000 bagi membantu golongan asnaf dan fakir miskin yang mengalami masalah kesihatan kronik.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, peruntukan melalui Zakat Program Kesihatan itu telah dibelanjakan bagi tujuan itu dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Menurutnya, bantuan melibatkan sumbangan 80 katil pesakit, kerusi roda dan pelbagai peralatan lain yang diperlukan pesakit terbabit.

"Bantuan berkenaan disalurkan kepada penerima selepas mendapat cadangan daripada Jabatan Khidmat Sosial Hospital (JKSH) selain permohonan daripada pelbagai pihak.

"Bantuan peralatan itu dihulurkan bagi memberi keselesaan kepada pesakit selain membantu memudahkan ahli keluarga yang menjaga mereka di rumah," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu hadir meninjau premis yang membekalkan peralatan perubatan tersebut, di sini pada Khamis.

Dr Asmadi berkata, bantuan itu disalurkan dengan segera dalam tempoh sehari hingga dua hari selepas menerima permohonan diterima.

"Pegawai MUIP cawangan akan menghantarnya kepada pesakit di rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak Muip turut menyumbang 10 set katil pesakit kepada Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands bagi menampung kekurangan kemudahan itu di hospital berkenaan minggu lalu.

"Selain itu, Muip juga menghulurkan bantuan makanan dan peralatan bernilai RM55,000 kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mengurangkan beban dalam menguruskan empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di daerah ini.

"Ia merupakan bantuan tambahan daripada bantuan bernilai RM75,000 yang dihulurkan kepada hospital ini Jun lalu," katanya.