Exco Kesihatan Kedah disahkan positif Covid-19

Dr Mohd Hayati Othman
Dr Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman disahkan positif Covid-19 pada Khamis.

Beliau memaklumkan dijangkiti virus itu selepas menjalani ujian saringan Covid-19 pada Rabu.

Mohd Hayati berkata, sebelum ini beliau turut terbabit dalam misi bantuan di kawasan tragedi kepala air di kaki Gunung Jerai, Yan sekitar minggu lalu.

"Saya tidak pasti sama ada dijangkiti dari kawasan Yan kerana selepas pulang dari program pada Sabtu, saya mulai batuk dan demam keesokannya (Ahad).

"Sebelum mesyuarat Exco, saya ada lakukan ujian saringan dan dipakaikan gelang merah jambu. Pagi tadi, saya dihubungi pihak kesihatan dan mereka maklumkan saya positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, ketika menyertai misi itu segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik selain sentiasa memakai pelitup muka sepanjang masa, malah makan di tempat berasingan.

Tambah Mohd Hayati, keadaannya kini berada pada kategori dua dan menjalani kuarantin di rumah, namun akan hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini keadaan kesihatan saya semakin baik apabila tahap oksigen berada pada paras antara 96 dan 97 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Dr Mohd Hayati menasihatkan semua pihak yang berada di lokasi bencana di Yan atau Merbok terutama pasukan yang menjalankan misi bantuan agar sentiasa mematuhi SOP supaya tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini.