Status projek PJD Link masih dalam peringkat rundingan

Izham
Izham
A
A
A

SHAH ALAM – Status pelaksanaan pembinaan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) masih dalam peringkat rundingan antara pihak kerajaan Persekutuan bersama dengan syarikat pencadang.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 34/2020 pada 30 September tahun lalu telah mengambil maklum tentang projek berkenaan menerusi pembentangan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Beliau berkata, MMKN dalam mesyuarat sama turut menimbang dan bersetuju secara dasar dengan cadangan projek PJD Link tersebut dan menetapkan beberapa syarat kepada pihak terlibat.

“Antara syarat yang ditetapkan adalah projek ini perlu dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Pihak konsesi perlu melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment) dan Kajian Impak Sosial (Social Impact Assessment) bagi pelaksanaan projek ini termasuk mengadakan sesi bersama penduduk setempat yang terlibat dalam jajaran dicadangkan,” katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini pada Khamis.

Izham berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing) tentang status terkini projek PJD Link di Petaling Jaya.

Izham berkata, kerajaan negeri juga menetapkan agar LLM mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi penyelarasan pembinaan itu dengan pembangunan yang telah diluluskan kawasan rizab sungai.

“Pindaan kepada Rancangan Tempatan Petaling Jaya perlu dilaksanakan dengan adanya pembinaan Projek PJD Link ini dan proses pengambilan balik tanah hendaklah diselesaikan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Malah, penyelenggaraan sungai perlu diserahkan kepada pihak konsesi memandangkan 2.5 kilometer daripada jajaran lebuh raya ini berada di atas rizab sungai dengan pembinaan maksimum sehingga ke sempadan rizab sungai,” katanya.

Tambahnya, semua syarat yang telah disenaraikan itu perlu dilaksanakan atau diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembinaan lebuh raya berkenaan dapat dimulakan oleh syarikat konsesi.

“Syarat-syarat ini telah ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi mengelakkan isu-isu seperti urusan tanah yang masih belum selesai membelenggu projek-projek lebuh raya sedia ada serta bantahan penduduk setempat terhadap jajaran lebuh raya ini yang melalui kawasan kediaman mereka,” katanya.