Bekas menteri Afghanistan jadi penghantar makanan di Jerman

Syed Ahmad Saadat mengayuh basikal menjadi pekerja penghantar makanan di Leipzig, Jerman baru-baru ini. - Foto Twitter
Syed Ahmad Saadat mengayuh basikal menjadi pekerja penghantar makanan di Leipzig, Jerman baru-baru ini. - Foto Twitter
A
A
A

BERLIN - Bekas Menteri Komunikasi dan Teknologi Afghanistan, Syed Ahmad Saadat yang memiliki dua ijazah sarjana kini bekerja sebagai penghantar makanan piza di bandar Leipzig, Jerman.

Beberapa gambar yang disiarkan oleh media-media tempatan menunjukkan beliau yang memiliki ijazah sarjana Komunikasi dan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Oxford, England mengayuh basikal untuk menghantar makanan di bandar berkenaan menjadi tular baru-baru ini.

Seorang wartawan Jerman mendakwa terserempak dengan bekas menteri tersebut di sebatang jalan raya di negara tersebut beberapa hari lalu.

Wartawan tersebut itu juga membuat ciapan di Twitter bahawa beliau telah bertemu dengan seorang lelaki yang mendakwa pernah menjadi Menteri Komunikasi Afghanistan selama dua tahun.

Bekas menteri tersebut kemudian memberitahu wartawan itu bahawa beliau kini bekerja sebagai penghantar makanan di Leipzig.

Bekas menteri Afghanistan, Syed Ahmad Saadat di Leipzig, Jerman baru-baru ini. - Foto Twitter
Bekas menteri Afghanistan, Syed Ahmad Saadat di Leipzig, Jerman baru-baru ini. - Foto Twitter

Syed Ahmad yang kini menjadi pelarian di bandar tersebut turut mengaku kepada portal berita Sky News Arabia bahawa gambar-gambar yang tular di media sosial itu adalah dirinya.

Artikel Berkaitan:

Bekas menteri itu dilaporkan berkata, beliau hidup secara amat sederhana dan berasa selamat ketika berada di Jerman serta mahu menyimpan wang untuk melanjutkan pelajaran.

Sebelum ini beliau pernah berkhidmat dalam kabinet Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani selama beberapa tahun tetapi meletakkan jawatan pada tahun lalu.

Syed Ahmad dilaporkan berbalah pendapat dengan Ghani menyebabkannya meletakkan jawatan sebagai menteri.

Beliau kemudian dilaporkan tiba di Jerman pada Disember 2020.

Bekas menteri itu sebelum ini pernah bekerja di syarikat Aramco dan Syarikat Telekom Arab Saudi. - Agensi