Vaksin cukup, Perak sasar imuniti kelompok pada Oktober

Saarani pada sesi soalan lisan Persidangan DUN Perak ke-14 pada Khamis.
Saarani pada sesi soalan lisan Persidangan DUN Perak ke-14 pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyasarkan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok dengan pemberian vaksin Covid-19 pada Oktober ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sasaran itu berdasarkan beberapa strategi dirangka kerajaan negeri menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada seluruh lapisan rakyat di setiap pelosok negeri.

Menurutnya, bagi kawasan berkepadatan tinggi, pusat pemberian vaksin (PPV) awam sedia ada telah dinaiktaraf kepada kapasiti harian lebih tinggi di samping mewujudkan kaedah secara pandu lalu serta melaksanakan program jangkauan komuniti (mobile outreach).

Bagi pedalaman pula katanya, pemberian vaksin telah dilakukan secara jangkauan komuniti dengan sasaran penduduk di kawasan Felda, Felcra dan komuniti orang asli yang dijalankan oleh pasukan PPV bergerak.

"Berdasarkan data PICK sehingga 24 Ogos 2021, seramai 1,118,358 orang iaitu 60.04 peratus telah menerima dos pertama manakala 797,317 orang (42.81 peratus) telah lengkap menerima dos kedua.

"Perak dijangka mencapai imuniti kelompok 80 peratus selewat-lewatnya pada Oktober ini dan selesai keseluruhan vaksinasi pada November tertakluk kepada bekalan vaksin," katanya ketika menjawab soalan Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, bekalan vaksin oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ke negeri ini adalah mencukupi untuk membolehkan setiap PPV menyelaras pemberian imunisasi seperti yang dijadualkan.

Perak setakat ini ujar beliau mempunyai 22 PPV awam, 6 PPV pandu lalu, 14 kumpulan PPV bergerak (mobile outreach), 8 PPV khas (sPPV), 1 PPV integrasi (awam dan swasta), 1 PPV NGO, 1 PPV IPT, 15 PPV hospital swasta (PPVHS), 150 PPV pengamal perubatan (PPV GP) dan 8 PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dengan kapasiti suntikan harian antara 40,000 hingga 45,000 sehari.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada yang mengatakan vaksin tidak cukup, itu tidak tepat kerana bekalan vaksin kita cukup hanya jadual ketibaan (vaksin) yang perlu kita selaraskan.

"Rekod menunjukkan pencapaian tertinggi pemberian vaksin di Perak adalah sebanyak 39,998 pada 25 Ogos (Rabu).

"Bagi membantu mempercepatkan program imunisasi ini, kerajaan negeri sedang membuat penilaian terhadap cadangan mewujudkan 12 lagi PPV baru dan menaiktaraf tiga PPV sedia ada," katanya.