MAIK berintegriti tinggi belanja zakat RM83.9 juta

Tengku Mohamad Rizam (tengah), Zulkifle (kanan) dan Mohamad Shukri menunjukkan buku Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Januari hingga Jun tahun 2021 pada Rabu.
Tengku Mohamad Rizam (tengah), Zulkifle (kanan) dan Mohamad Shukri menunjukkan buku Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Januari hingga Jun tahun 2021 pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus amanah, kompeten dan berintegriti tinggi dalam menerajui tadbir urus hal ehwal agama serta pembangunan umat Islam menerusi perbelanjaan zakat berjumlah RM83.9 juta daripada RM90.6 juta jumlah terimaan zakat terkumpul bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

Jumlah terimaan zakat terkumpul itu mencatatkan penurunan lima peratus iaitu bersamaan RM95 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penurunan disebabkan implikasi ekonomi terhadap prestasi syarikat dan kekangan untuk penyerahan dokumen zakat fitrah serta zakat padi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, perbelanjaan atau agihan zakat pula lebih rendah sebanyak dua peratus bersamaan RM85.8 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli (dua dari kiri) melawat keluarga Mohd Khairi Mohd Mohamadiah dan isteri, Siti Meriam Muhamad@Ahmad yang mempunyai empat orang anak di Tumpat.
Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli (dua dari kiri) melawat keluarga Mohd Khairi Mohd Mohamadiah dan isteri, Siti Meriam Muhamad@Ahmad yang mempunyai empat orang anak di Tumpat.

“Faktor terbesar pengu-rangan agihan ini disebabkan PKP dan sekatan pergerakan, sekali gus mengakibatkan golongan asnaf mengalami kesulitan memohon dan menghantar borang permohonan bantuan kepada pihak MAIK.

“Selain itu, pengurangan juga disebabkan oleh penurunan dalam permohonan Bantuan Melanjutkan Pelajaran ke IPT-Fisabilillah susulan berlakunya kekurangan pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam tempoh berkenaan,” katanya pada Majlis Sidang Akhbar Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Januari hingga Jun tahun 2021.

Pembentangan laporan untuk setengah tahun itu adalah rutin yang menjadi tanggungjawab MAIK bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Tengku Mohamad Rizam berkata, dalam keadaan ekonomi masih getir, MAIK terus me-ngorak langkah proaktif dan progresif menjayakan perancangan yang telah disusun rapi dan memastikan bukan sahaja hasil terimaan zakat konsisten, malah pada masa sama turut mengoptimumkan perbelanjaan zakat agar sampai kepada kelompok sasaran secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Wakil MAIK menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada keluarga Abdul Aziz Muhammad di Kampung Lubuk Temesu, Bachok.
Wakil MAIK menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada keluarga Abdul Aziz Muhammad di Kampung Lubuk Temesu, Bachok.

“Iklim ekonomi tahun ini masih suram kerana kesan pandemik, namun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini sangat positif dan diharap dapat memberi impak berterusan untuk negara kita khususnya.

“Di hujung terowong terdapat sinar yang akan berikan harapan untuk kita semua,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, segmen terbesar terimaan zakat bagi Januari hingga Jun 2021 ialah zakat pendapatan berjumlah RM49.98 juta, zakat perniagaan (RM18.4 juta), zakat wang zimpanan (RM10.5 juta), zakat harta (RM5.4 juta) dan lain-lain zakat iaitu zakat fitrah, zakat pertanian serta padi, zakat ternakan, zakat saham, zakat emas/perak dan zakat qada berjumlah RM 6.3 juta.

“Zakat Pendapatan merupakan terimaan zakat terbesar dalam tempoh ini, namun jumlah itu mengalami penurunan 10 peratus berbanding RM55.8 juta. pada tahun lalu.

“Ia disebabkan implikasi kelembapan ekonomi yang menjejaskan prestasi dan pendapatan syarikat serta institusi-institusi penyumbang lain,” katanya.

Ujar beliau, berikutan negara yang masih bergelut dengan pandemik, capaian platform atas talian yang disediakan kepada pembayar zakat MAIK menghasilkan terimaan zakat agak memberangsangkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

“Ternyata langkah pen-tadbiran MAIK melebar luas capaian atas talian seperti e-Potongan Gaji Bulanan Zakat (e-PTG) dan kemudahan e-Zakat Payment memudahkan pembayar zakat membuat urusan bayaran zakat secara atas talian sehingga berjaya mencatat jumlah terimaan RM 1 juta tanpa pembayar datang ke pejabat MAIK.

“Kemudahan sistem e-Pembayar pula membolehkan pelanggan atau pembayar mengakses kepada satu platform bersistem bagi menyelesaikan beberapa keperluan perkhidmatan utama MAIK,” katanya.

Menurut Tengku Mohamad Rizam, perbelanjaan Program Asnaf Fakir dan Miskin mencatat pecahan terbesar dalam program agihan zakat iaitu RM30.3 juta diagihkan berbanding RM48.19 juta tahun lalu.

MAIK turun padang menyampaikan bantuan zakat dan wakaf katil kepada Wan Zainah Wan Yaakob yang sudah setahun terlantar akibat menderita kanser usus di Jalan Sekolah Kebangsaan Kor, Kota Bharu.
MAIK turun padang menyampaikan bantuan zakat dan wakaf katil kepada Wan Zainah Wan Yaakob yang sudah setahun terlantar akibat menderita kanser usus di Jalan Sekolah Kebangsaan Kor, Kota Bharu.

“Selainnya, MAIK mengagihkan Bantuan Am RM6.39 juta, Bantuan Bulanan Fakir dan Miskin (RM13.9 juta kepada 7,272 penerima), Bantuan Persekolahan (RM2.43 juta kepada 5,130 pelajar) dan Program Bantuan Melanjutkan Pelajaran ke IPT (RM2.5 juta kepada 996 pelajar).

“Bantuan Hari Raya (RM1 juta kepada 2,263 penerima), Skim Bantuan Pemulihan Rumah Kediaman (RM332,500 kepada 109 penerima), Bantuan Rumah Kediaman (RM307,900 bagi enam buah rumah) manakala 180 permohonan Bantuan Rumah Kediaman diluluskan dan dalam proses pembinaan, Rawatan Perubatan (Projek Khas) (RM402,304) dan Program It’am MAIK atau sumbangan makanan kepada asnaf (RM 265,080),” katanya.

Jelas beliau, segmen kedua terbesar dalam program agihan zakat MAIK adalah agihan dana RM31.87 juta kepada Asnaf Fisabilillah yang meningkat pada kadar 10 peratus berbanding RM29 juta tahun lalu. “Turut menjadi agenda penting adalah agihan zakat RM1.6 juta kepada golongan mualaf sebagai medium dakwah.

“Sehubungan itu, MAIK ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih terhadap komitmen semua ‘hero asnaf’ iaitu pembayar zakat, penyumbang baitulmal, pewakaf serta bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak hingga membolehkan kami melaksanakan semua perbelanjaan ini,” kata Tengku Mohamad Rizam.