Suspek pecah stesen minyak, kedai diberkas

Suspek ditahan ketika memecah masuk kedai di sebuah stesen minyak di Jalan Batu 2 Seremban pada Selasa.
Suspek ditahan ketika memecah masuk kedai di sebuah stesen minyak di Jalan Batu 2 Seremban pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang lelaki yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah stesen minyak dan kedai sekitar daerah ini ditahan polis semasa melakukan jenayah itu, pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, penahanan suspek berusia 29 tahun itu dilakukan sebaik polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang bekerja di syarikat penggera keselamatan memaklumkan sebuah stesen minyak di Jalan Batu 2 Seremban dipecah masuk pada jam 3.27 pagi.

"Setibanya di lokasi, kelihatan cermin kaca stesen minyak tersebut dipecahkan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek masih berada di dalam kedai dengan bersembunyi di bawah meja kaunter.

Antara barang rampasan.
Antara barang rampasan.

"Semasa tangkapan dibuat, barang kes yang turut dirampas adalah wang tunai RM500, tukul besi, sarung tangan, topi, beg pinggang, motosikal dan pakaian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Aidi Sham berkata, pihak polis juga telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah yang pernah diduduki oleh suspek di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang di sini.

"Polis merampas barang-barang dipercayai hasil daripada pecah kedai dan stesen minyak seperti rokok pelbagai jenama, telefon bimbit, iPad, perisa vape, gelang hiasan tangan, cincin hiasan, kad memori, mikrofon, 'screen protector' telefon dan cermin mata.

Artikel Berkaitan:

Antara barang rampasan di rumah yang pernah didiami suspek.
Antara barang rampasan di rumah yang pernah didiami suspek.

"Susulan penangkapan tersebut, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan lima kes di Port Dickson, satu kes di Seremban manakala dua lagi kes di daerah Nilai melibatkan pecah stesen minyak dan kedai yang membawa keseluruhan kerugian berjumlah RM69,713," katanya.

Katanya, siasatan polis juga mendapati suspek melakukan jenayah secara solo sejak Oktober tahun lalu, bagaimanapun suspek yang tidak bekerja itu tiada sebarang rekod jenayah lampau.

"Keputusan saringan air kencing bebas daripada pengaruh dadah. Suspek direman lima hari bermula Selasa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.