Kerjasama harmoni antara kerajaan dan pembangkang stabilkan Pahang

Wan Rosdy pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal ke-14 Sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Rabu.
Wan Rosdy pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal ke-14 Sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengakui kestabilan sosioekonomi negeri itu atas faktor kerjasama erat Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO dengan Pas selain hubungan harmoni bersama wakil rakyat pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kestabilan itu juga dicapai dengan diplomasi tersendiri yang dimiliki kepemimpinan negeri dengan memeterai hubungan bersama Pas menerusi Muafakat Nasional.

“Saya boleh katakan bahawa ‘Inilah Pahang’ atau ‘This is Pahang. Kita ada diplomasi kita tersendiri menerusi ‘The Pahang Diplomacy’ yang menyebabkan keadaan sosioekonomi kita sentiasa stabil.

“Kestabilan ini bukan sahaja kerjasama erat UMNO, BN dengan Pas dalam Muafakat Nasional, malah hubungan harmoni dengan sembilan wakil rakyat daripada pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama ke-14 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini pada Rabu.

Pada sidang itu, Wan Rosdy mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long yang mengakui keamanan dan kestabilan politik di Pahang, berbanding di peringkat Pusat.

Menjawab persepakatan Muafakat Nasional yang dibangkitkan ADUN Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, beliau berkata, hubungan UMNO dan Pas itu berlaku di peringkat atasan lagi dan disusuli di setiap negeri.

Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang telah menangani isu perlombongan bauksit terutamanya melibatkan peneroka Felda di Bukit Goh dan Bukit Kuantan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang sudah dilantik untuk menyelaraskan semua perkara berkaitan aktiviti perlombongan bauksit.

"Dalam usaha penyelarasan ini, sudah pasti kepentingan para peneroka diambil kira serta menawarkan situasi menang-menang kepada semua, terutamanya kepada pihak peneroka selaku pemilik tanah," ujarnya.