Selangor sedia 11 PPV 'walk in' kepada warganegara

Kenyataan mengenai program vaksinasi secara 'walk in' bagi warganegara dan bukan warganegara pada Rabu.
Kenyataan mengenai program vaksinasi secara 'walk in' bagi warganegara dan bukan warganegara pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menetapkan sebanyak 11 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara terus atau 'walk in' kepada warganegara bermula Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, inisiatif vaksinasi secara 'walk in' itu adalah kesinambungan kepada usaha pemvaksinan di Lembah Klang.

Menurutnya, sebanyak tujuh PPV dibuka di negeri ini sejak pelaksanaan vaksinasi secara 'walk in' pada Isnin.

"Tujuh PPV itu ialah Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam; Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Hulu Langat; Hotel Wyndham Acmar, Klang dan Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya.

"Tiga lagi PPV ialah di Stadium Tertutup Kuala Selangor; Dewan Seri Bernam, Sabak Bernam dan Dewan Kompleks Sukan, Majlis Perbandaran Kuala Langat," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Kesihatan Selangor pada Rabu.

Dr Sha'ari berkata, sebanyak dua PPV lagi mula beroperasi secara 'walk in' pada Rabu iaitu di Le Pavilion Gamuda Garden, Gombak dan Bukit Beruntung Golf Resort, Hulu Selangor.

"Pada Khamis, dua lagi PPV turut dibuka kepada warganegara bagi pendaftaran 'walk in' iaitu di Galaxy Mall Ampang dan Universiti Multimedia, Cyberjaya," katanya.

Beliau memberitahu, bagi vaksinasi secara janji temu bagi bukan warganegara (BWN) pula perlu mendaftar melalui MySejahtera dengan menghubungi talian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di 1800-888-828 atau laman web www.vaksincovid.gov.my agar janji temu dapat diberikan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, setiap warganegara yang 'walk in' ke PPV dan bukan warganegara yang pergi ke PPV mengikut janji temu perlu membuktikan mereka adalah pemastautin di Selangor dengan membawa surat atau dokumen seperti kad kerja, bil utiliti atau sebarang dokumen yang berkaitan.

Dalam pada itu, katanya, bagi mana-mana individu yang terlepas suntikan dos kedua, boleh pergi ke PPV yang dinyatakan berhampiran dengan kediaman.

"Jika PPV tersebut tidak menawarkan jenis vaksin yang sama dengan dos pertama, mereka akan dirujuk ke PPV lain.

"Walk in adalah berdasarkan kaedah 'first come first serve' bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV terbabit dan sekiranya bekalan vaksin pada hari tersebut sudah habis digunakan, individu walk in diletakkan di bawah senarai menunggu untuk keesokkannya," katanya.