Sila log masuk terlebih dahulu.

Syarikat swasta perlu daftar vaksin pekerja asing bawah PIKAS

PPV Awam hanya memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia sahaja dan pekerja warga asing perlu menerima vaksin melalui PIKAS. - Foto Bernama
PPV Awam hanya memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia sahaja dan pekerja warga asing perlu menerima vaksin melalui PIKAS. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat swasta di Negeri Sembilan perlu mendaftarkan pekerja warga asing mereka di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kerajaan negeri telah menerima arahan daripada MITI untuk tidak membenarkan kehadiran warga asing di Pusat Pemberian Vaksin(PPV) Awam.

"Beberapa hari lalu saya difahamkan terdapat pekerja asing yang mendaftar untuk vaksin melalui MySejahtera telah mendapat janji temu di PPV Awam.

"Majikan perlu ambil maklum bahawa pekerja asing harus menerima vaksin di PIKAS, Universiti Teknologi Mara kampus Rembau dan Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) sahaja," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Menurutnya, arahan itu tertakluk kepada pekerja warga asing di semua sektor melainkan sektor profesional dan pembantu rumah.

Jelas beliau, PPV Awam hanya memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia sahaja dan pekerja warga asing perlu menerima vaksin melalui PIKAS.

"Majikan perlu membayar suntikan vaksin tersebut kepada pekerja asing di PIKAS sebanyak RM90 seorang.

"Sekiranya 'General Practioner' atau Klinik Swasta memberikan vaksin kepada pekerja asing dengan bayaran yang tinggi, perkara itu perlu dimaklumkan kepada saya melalui media sosial ataupun nombor persendirian saya di talian 012-386 3492 atau Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19(Citf) pusat, " katanya.

Artikel Berkaitan: