Bekas pengarah didakwa subahat buat tuntutan palsu

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Dungun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan bersubahat dengan dua pengurus syarikat bagi mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja pembekalan dianggarkan berjumlah RM64,100 pada tiga tahun lalu.

Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Pada masa sama, dua lagi tertuduh iaitu Azlin Md Ashaari, 54, dan Muhammad Azmi Abdullah, 43, yang merupakan pengurus di syarikat masing-masing didakwa di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 di mahkamah sama.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-duanya direkodkan, Azlin yang berdepan satu pertuduhan dibenarkan untuk dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin.

Bagi Muhammad Azmi yang berdepan tiga pertuduhan, mahkamah menetapkan dia dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi keseluruhan pertuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan kesemua tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM pada 1 hingga 5 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada SPRM.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.