Cerucuk batang kelapa dipasang di kawasan ban pecah

Cerucuk batang pokok kelapa dipasang di ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Samagagah di sini yang pecah.
Cerucuk batang pokok kelapa dipasang di ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Samagagah di sini yang pecah.
A
A
A

BAGAN SERAI - Cerucuk batang pokok kelapa siap dipasang di kawasan ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Samagagah di sini yang pecah bagi mengelak kejadian banjir berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata, kerja-kerja berkenaan dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai usaha menghalang aliran air sungai terus memasuki kawasan penempatan penduduk.

Menurutnya, selepas kerja-kerja berkenaan selesai, bongkah batu pula akan diletakkan di kawasan ban yang rebak.

"Mengikut perancangan JPS, air di kawasan terjejas ini dipam keluar setelah kerja membaiki ban yang rebak selesai sepenuhnya,

"Cara ini sedikit sebanyak dapat mengeringkan air yang masih terperangkap," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, air sungai yang deras melalui ban sepanjang dua kilometer itu mengakibatkan kerosakan di dua kawasan.

Katanya, kebimbangan kini terarah sekiranya kejadian sama berlaku di kawasan lain yang turut berisiko untuk rebak.

"JPS telah melaksanakan kerja awal dan memohon peruntukkan untuk memperbaiki keseluruhan ban ini dan perkara itu dalam perhatian kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Jika ban RTB ini dapat diperbaiki, aliran air dapat disekat daripada memasuki kawasan penempatan," katanya.

Kerajaan Perak sebelum ini memohon peruntukan khas RM800,000 untuk membaik pulih ban RTB Sungai Samagagah yang menjadi punca banjir di sekitar Kampung Matang Pasir dan Kampung Parit Haji Kasim, Alor Pongsu.

Banjir yang dianggap terburuk dalam tempoh 18 tahun itu menjejaskan hampir 400 rumah penduduk, sekolah dan ladang kelapa sawit berhampiran, malah Jalan Alor Pongsu-Selama di laluan FT147 terpaksa ditutup selepas dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Setakat jam 8 malam pada Isnin, 171 mangsa banjir daripada 43 keluarga di kawasan itu masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak (111 orang) dan SK Alor Pongsu (60 orang).