Mudahkah kita berubah?

A
A

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Itu kata bidalan. Namun, dalam kehidupan sebenar ada ketikanya kita amat sukar berubah. Antara faktor yang memudahkan atau menyukarkan seseorang itu menerima perubahan bergantung kepada hambatan mentalnya.

Pengaruh utama hambatan mental adalah keyakinan, perasaan dan nilai yang sudah terbentuk sejak awal kehidupan. Selain itu, zon selesa yang menguasai diri manusia merupakan cabaran utama kepada pemimpin dalam memperkenalkan sesuatu perubahan. Pengaruh persekitaran organisasi termasuklah individu di sekeliling mereka juga akan menambah kesukaran penerimaan seseorang terhadap perubahan.

Teori dan kajian kelakuan organisasi menunjukkan bahawa kesukaran mengubah manusia merupakan cabaran yang bakal ditempuhi oleh agen perubahan. Kesukaran mengubah dan mengurus manusia adalah kerana setiap orang berlainan pendapat, ragam dan telatahnya.

Sesungguhnya, mengurus dan merealisasikan perubahan bukanlah suatu tugas yang mudah. Pemimpin harus mengakui bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya secara bersendirian biarpun mereka berperanan menentukan visi dan misi di sebalik perubahan tersebut.

Walaupun majoriti masyarakat menyedari kepentingan dan kebaikan perubahan dan keperluan untuk berubah, tidak semua individu mudah menerimanya. Kajian telah menemukan pelbagai alasan mengapa individu menolak perubahan atau lambat menerima sesuatu perubahan. Antaranya adalah faktor keselamatan seperti bimbang diberhentikan kerja, diturunkan pangkat, ditukarkan, kehilangan kuasa dan juga berhadapan pengurusan yang lebih autokratik.

Kesukaran menerima sesuatu perubahan juga boleh disebabkan oleh sikap pekerja yang telah selesa dengan struktur dan budaya kerja semasa. Jika perubahan mengambil tempat, mereka perlu melalui situasi dan persekitaran baharu yang tidak pasti dan penyesuaian semula diri amat diperlukan. Cabaran dan tentangan seperti ini memang wujud dalam negara atau organisasi apabila sesuatu perubahan diperkenalkan. Namun begitu, ianya dapat diminimumkan melalui pengurusan perubahan terancang. Perubahan yang dirancang amat bersesuaian jika keadaan organisasi dan persekitarannya berada dalam keadaan yang stabil dan tenang.

Tentangan terhadap perubahan dapat diminimumkan jika perubahan dilakukan secara beransur-ansur. Sesuatu perubahan yang dilakukan secara drastik sebaliknya mewujudkan tentangan dalam kalangan pekerja dan boleh memberikan impak jangka panjang negatif kepada organisasi dan negara secara keseluruhannya.

Pembelajaran dan pendidikan pula merupakan aspek terpenting dalam menjamin kejayaan mengurus perubahan. Proses tersebut datangnya dari pengalaman dan kepekaan organisasi yang mana akhirnya akan membentuk satu program perubahan terancang yang lebih berkesan. Penemuan penyelidik bidang kelakuan organisasi menunjukkan tahap kesedaran dan pembelajaran yang dialami oleh individu dan pemimpin membawa kepada organisasi yang lebih bersedia dan mudah mendepani perubahan.

Pembelajaran dan pendidikan akan membentuk pemikiran yang lebih matang dan mampu membawa organisasi mencapai objektif dan matlamat yang telah ditetapkan. Kajian juga menunjukkan bahawa individu, organisasi dan negara yang mementingkan pembelajaran dan pendidikan semua pemegang taruh mudah mengenal pasti dan menyelesaikan sesuatu masalah. Kesannya ia membolehkan individu, organisasi dan negara meningkatkan dan menambah baik produktiviti dan nilai yang memberi manfaat bersama.

Kejayaan pelaksanaan dan pengurusan perubahan amat bergantung kepada sumber manusia organisasi. Kewujudan tentangan yang ketara akan menyukarkan pelaksanaannya. Justeru, pemimpin dan pengurus perlu menekankan usaha menerapkan daya keintelektualan tinggi kepada sumber manusia agar mereka mudah menerima perubahan. Hasrat ini boleh dicapai melalui proses pembangunan modal insan yang menekankan aspek latihan, pendidikan dan pengembangan individu.

Aspek-aspek kemanusiaan seperti kemahiran, persepsi dan harapan individu yang memiliki kesinambungan daripada perubahan yang dibentuk perlulah ditekankan agar setiap individu mempunyai pandangan yang luas tentang keperluan untuk berubah. Melalui proses pembelajaran yang dilalui dalam pembangunan modal insan, individu akan lebih berfikiran positif, terbuka dan bersedia menerima perubahan.

Tahap cabaran dan tentangan bagi sesuatu perubahan terletak kepada kecekapan dan keberkesanan pemimpin sebagai agen perubahan. Selain itu, ia juga terletak kepada sejauh mana penerimaan individu terhadap agenda perubahan yang ingin dibawa. Perubahan amat berkait rapat dengan mengurus perasaan individu.

Hakikatnya, sesiapa jua memang menyedari bahawa dunia sentiasa akan berubah dan tiada siapa yang akan kekal dalam kehidupan. Suka ataupun tidak, manusia tidak dapat lari daripada mengalami pelbagai perubahan dalam perjalanan kehidupan di atas muka bumi ini.

Dimensi kemanusiaan yang terdiri daripada mental, emosi dan rohani memainkan peranan penting dalam strategi menjayakan pengurusan perubahan. Penekanan dimensi ini bersama strategi perubahan yang dibawa akan menjadikan sesuatu perubahan mudah untuk diterima lebih cepat daripada yang dijangkakan.

* Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia