Petani cetus Kluster Kampung Penangah di Tongod

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kluster Kampung Penangah di Tongod yang dilaporkan hari ini, dicetuskan seorang petani lelaki warga emas berusia 76 tahun, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Masidi berkata, lelaki yang merupakan kes indeks kluster berkenaan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan masalah kulit, dan telah pergi ke Sandakan pada 12 Ogos untuk mendapatkan rawatan penyakit kulitnya, sebelum dikesan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Penangah pada 17 Ogos lepas.

“Siasatan lanjut mengesan 14 kes positif dalam kalangan kontak rapat di sekitar kediaman kes indeks, dan setakat hari ini jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini ialah 35 kes, termasuk 15 kes baharu hasil saringan terhadap 76 individu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 negeri berkata, aktiviti siasatan, persampelan dan disinfeksi, masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko, kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung berdekatan.

Sementara itu Masidi berkata, sebanyak 2,638 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 121,956 kes, manakala 16 kes kematian dan 903 pesakit sembuh, menjadikan jumlah kumulatif sembuh 97,031 orang.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain memaklumkan, seorang lelaki bukan warganegara berusia 57 ditemukan meninggal dunia di luar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Keningau, dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Shahrudin berkata, ketika kejadian pada jam 9.30 pagi hari ini, Ibu Pejabat Balai Polis Daerah menerima panggilan mengenai mangsa yang rebah di bawah pokok, di luar PPV berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa berjalan kaki dari Kampung Pampang, Keningau ke PPV tersebut untuk hadir janji temu vaksin melalui aplikasi MySejahtera, mangsa duduk berehat di bawah pokok sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut. - Bernama