Pelanggan masih kurang makan di restoran

Suasana lengang pada hari pertama kebenaran makan di sebuah restoran di Kota Bharu. - Foto Bernama
Suasana lengang pada hari pertama kebenaran makan di sebuah restoran di Kota Bharu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pemantauan polis di sini mendapati rata-rata pelanggan lebih gemar membungkus makanan meskipun kelonggaran sudah diberikan kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin untuk menjamu selera di restoran.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, keadaan itu mungkin disebabkan orang ramai masih berhati-hati dengan kadar peningkatan jangkitan Covid-19 di negeri ini.

“Setakat ini belum ada tindakan kompaun dikenakan terhadap mana-mana pihak sama ada pelanggan atau pemilik restoran bersabit dengan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Selain itu, walaupun ada pertambahan sebanyak lima hingga 10 peratus orang ramai dan kenderaan di dalam bandar, kita dapati kehadiran mereka hanyalah untuk urusan yang penting sahaja dan bukan bersiar-siar tanpa tujuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program pengagihan Jalur Gemilang, minyak masak dan ayam kepada pengguna jalan raya di hadapan Balai Polis Kota Bharu di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, orang ramai dinasihatkan supaya terus mengamalkan SOP dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Sekarang kita sedang ‘berperang’ dengan musuh yang tidak kelihatan dan sekiranya tiada apa-apa urusan yang penting lebih baik kekal di rumah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Peminat Eddie Hamid, Mohd Rozi Abdul Rahim berkata, program agihan Jalur Gemilang yang dijalankan hari ini adalah bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 500 unit bendera itu diedarkan kepada pengguna jalan raya supaya mereka kembali bersemangat untuk mengingati Hari Kebangsaan meskipun dalam situasi pandemik.

“Di samping itu, kami bersama pihak Jukee Ayam dan syarikat pengeluar minyak masak Kijang Gold turut menyumbang sebanyak 500 ekor ayam dan 500 kilogram minyak masak kepada pengguna jalan raya di sini," katanya. - Bernama