PN terus sokong dasar, perancangan kerajaan baharu

Muhyiddin (tengah) semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional (PN) pada pagi Ahad. - Foto FB Muhyiddin
Muhyiddin (tengah) semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional (PN) pada pagi Ahad. - Foto FB Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Perikatan Nasional (PN) menyatakan komitmen untuk menyokong dasar dan perancangan kerajaan di samping memperkukuhkan kerjasama antara parti komponen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibincangkan ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN yang dipengerusikan beliau pada pagi Ahad.

"Parti PN yang didukung oleh 50 ahli Dewan Rakyat bersama tiga ahli Dewan Rakyat bebas akan terus bersama, bersatu padu dan komited untuk menyokong dasar dan perancangan kerajaan Perikatan Nasional menjayakan pelan pemulihan negara, mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara.

"Mesyuarat juga telah membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara dan mendengar serta mengambil maklum semua pandangan daripada parti-parti komponen bagi memperkukuhkan kerjasama politik dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi PRU15," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Mesyuarat itu katanya, telah dihadiri oleh semua ahli Majlis Tertinggi termasuk presiden parti-parti komponen antaranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau.

Selain itu, turut hadir adalah pimpinan-pemimpin parti komponen PN lain iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar dan serta wakil-wakil daripada parti komponen.

Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan bagi membincangkan calon jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu, namun Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu dilaporkan memaklumkan ia tidak berlaku pada mesyuarat tersebut.

Sebaliknya hal itu akan akan ditentukan menerusi perbincangan antara Ismail Sabri dan Muhyiddin.

Artikel Berkaitan: