X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 19 Mei 2022

Sindiket 'Wa' terbongkar, sorok dadah tepi rumah

A
A

PADANG BESAR - Kegiatan pengedaran dadah yang didalangi sepasang suami isteri dikenali sebagai sindiket ‘Wa’ terbongkar selepas polis menemukan dadah yang ditanam sedalam 35 sentimeter berhampiran rumah suspek di sini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas berkata, polis merampas 4.17 kilogram dadah jenis syabu dan ganja dianggarkan bernilai RM84,191 serta menahan empat suspek menerusi tiga serbuan berasingan.

“Hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sejak Julai telah membawa kepada penahanan seorang suspek wanita warga tempatan berusia 21 tahun yang merupakan isteri kepada dalang sindiket tersebut di hadapan sebuah gerai dekat sini pada 16 Ogos.

“Semasa pemeriksaan dibuat kira-kira pada 12.15 tengah hari, suspek telah menyerahkan bekas plastik dan apabila diperiksa didapati mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat 52.72 gram,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata, hasil maklumat daripada penahanan tersebut membawa kepada serbuan kedua yang dilakukan pada keesokan hari (17 Ogos) di sebuah rumah di daerah ini kira-kira pada 2.45 petang.

“Polis telah menahan dua suspek iaitu seorang lelaki warga Thailand berusia 33 tahun yang merupakan dalang utama dan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan sejumlah dadah disyaki jenis syabu seberat 2,149 gram dan ganja seberat 1,972 gram yang disimpan di dalam beg kain dan ditanam berhampiran rumah suspek,” katanya.

Saifudin berkata, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, pada serbuan ketiga yang dilakukan pada Jumaat, polis menahan seorang lagi suspek lelaki warga Thailand berusia 20 tahun di rumah tidak bernombor pada 9 malam dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Saifudin berkata, polis turut merampas sebuah kereta Honda Civic bernilai RM40,000 dan semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau juga mendapati kedua-dua suspek yang ditangkap dalam serbuan kedua mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!