Peguam Negara dapat kebenaran mulakan prosiding komital

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam Negara Tommy Thomas hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding komital (hina mahkamah) terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung kenyataan media yang dibuatnya berkaitan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan 'ex-parte' (sebelah pihak) yang difailkan oleh Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Muhammad Shafee.

"Mahkamah menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes," kata Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Peguam Negara itu kepada pemberita selepas kes didengar di dalam kamar.

Premohonan ex-parte itu difailkan pada Februari tahun ini di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi yang menamakan Muhammad Shafee seorang sahaja sebagai defendan.

Dalam permohonannya, Peguam Negara berkata Muhammad Shafee adalah seorang peguam bela dan peguam cara, yang mewakili Najib (tertuduh) yang telah didakwa di Mahkamah Tinggi di sini atas beberapa kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Beliau berkata pada 7 Feb 2019, selepas selesai prosiding membabitkan tertuduh di Mahkamah Tinggi, defendan telah wawancara beberapa wartawan di luar kamar mahkamah, dan ia dirakam oleh seorang juruvideo.

Thomas mendakwa defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa kenyataannya yang menyingung perasaan itu adalah menghina hakim dan boleh menjejaskan pelaksanaan keadilan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Beliau berkata defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa kenyataannya yang menyinggung perasaan itu sudah tentu akan dengan secara jelas meletakkan hakim perbicaraan pada satu kedudukan yang memalukan dan mewujudkan satu ketidaktentuan mengenai keadilan dan kesaksamaan keputusan kes jenayah itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa kata-kata itu dituturkan dengan sengaja oleh defendan dengan niat hendak cuba memberi tekanan dan mempengaruhi keputusan mahkamah dalam kes jenayah itu.

Thomas menghujahkan bahawa kenyataan yang menyinggung perasaan itu dibuat sebaik sahaja selesai prosiding membabitkan tertuduh yang hanya membawa satu maksud dan berniat untuk menghina mahkamah dan hakim-hakim, dan ia akan menjejaskan pelaksanaan keadilan dan keyakinan awam terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Beliau seterusnya berkata, dengan mempertimbangkan kata-kata itu secara keseluruhannya, ia secara munasabah memberi tanggapan kepada orang awam bahawa jika tertuduh disabitkan dengan kesalahan itu, hakim perbicaraan adalah tidak betul, hakim dipengaruhi, saksi-saksi diajar dan bukti-buti direka-reka.

Beliau berkata kata-kata itu juga bukan sahaja boleh memberi kesan buruk kepada imej dan martabat mahkamah dan hakim-hakim di Malaysia, tetapi juga meletakkan hakim perbicaraan pada satu kedudukan yang memalukan, kata-kata itu akan mewujudkan satu situasi ketidaktentuan mengenai tercapai atau tidaknya keputusan yang adil dan saksama dalam kes itu.

Sementara itu, Muhammad Shafee, yang ditemui pemberita kemudian berkata beliau akan mencabar prosiding komital terhadapnya itu. - Bernama