Pembentukan kabinet mengikut keperluan negara

Berjasa menggesa Ismail Sabri membentuk kabinet kerajaan baharu berdasarkan keperluan negara.
Berjasa menggesa Ismail Sabri membentuk kabinet kerajaan baharu berdasarkan keperluan negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentukan barisan kabinet baharu kerajaan perlu dibuat berdasarkan keperluan negara dan kewibawaan yang ditonjolkan oleh barisan kepimpinannya.

Presiden Parti Berjasa Malaysia, Zamani Ibrahim berkata, pelantikan pemimpin kabinet kerajaan tidak boleh dibuat atas faktor membalas budi susulan sokongan kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Beliau memberitahu, langkah berkenaan menjimatkan kewangan negara di samping membantu rakyat yang sedang berdepan tempoh sukar susulan penularan Covid-19.

"Melantik ahli Parlimen bagi tujuan membalas budi, kluster mahkamah dan mereka yang tidak mempunyai integriti bagi memegang jawatan penting perlu dihentikan.

"Rakyat mahukan nasib yang terbela dan suara mereka didengar," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Jumaat berkata, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.

Dalam pada itu, Zamani berkata, tindakan melantik ahli-ahli politik menerajui badan berkaitan kerajaan (GLC) juga perlu dihentikan dan diganti dengan mereka yang mempunyai kepakaran dalam kalangan anak tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Ismail Sabri perlu membaiki sistem politik negara dan membina hala tuju negara yang baharu," katanya.

Tambahnya, Berjasa berharap pelantikan Ahli Parlimen Bera itu akan dapat meredakan kemelut politik negara yang berlaku sebelum ini.