Enggan nyawa direntap komunis

Tengku Ahmad Noor menunjukkan di tangan kirinya jaket berisi kelopak peluru yang dipakainya pada hari kejadian dia ditembak oleh komunis manakala gambar dirinya ketika menjalani operasi menentang komunis. Foto SINAR HARIAN

A
A
A

KOTA BHARU - Selagi ada nyawa, terkena tembakan tidak melemahkan semangat seorang pejuang tanah air untuk mara melawan musuh di medan tempur.

Bagi Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik, 63, pengalaman bertempur dengan komunis ketika Operasi Kota Foxtrot dalam hutan di Guak Rimau, Perak pada Mei 1985 masih segar dalam ingatannya sehingga kini.

Menurut Tengku Ahmad Noor, ketika itu dia yang berpangkat kapten bersama seramai 24 anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dibahagikan kepada dua kumpulan untuk tugasan tersebut selama dua bulan.

“Pada satu malam yang sunyi di tengah-tengah hutan berbukit, tiba-tiba kami terdengar bunyi seperti ketukan buluh berulang kali.

“Begitu pelik dan mencurigakan tetapi kami yakin ia perbuatan komunis yang mahu menarik perhatian supaya kami bergerak ke kawasan serangan dan periuk api,” katanya yang telah menawarkan diri untuk menyiasat punca bunyi itu.

Ujar Tengku Ahmad Noor, dia bersama dua lagi anggota menjejaki musuh selama tiga hari hingga akhirnya mengesan kehadiran anggota komunis dengan mendengar bunyi derapan tapak kasut.

‘Berani erti hidup, takut erti mati’, kata-kata yang menjadi pegangang Tengku Ahmad Noor sepanjang perjuangan melindungi tanah air dari ancaman komunis selama 40 tahun bersama.
‘Berani erti hidup, takut erti mati’, kata-kata yang menjadi pegangang Tengku Ahmad Noor sepanjang perjuangan melindungi tanah air dari ancaman komunis selama 40 tahun bersama.

“Tiba-tiba seorang komunis berdiri kira-kira 30 meter di hadapan saya dan terus melepaskan tembakan tetapi dengan pantas saya berjaya merebahkan diri. Kemudian bangun semula untuk membalas tembakan itu menyebabkan musuh tersebut jatuh terguling.

Artikel Berkaitan:

“Kira-kira 15 lagi anggota komunis kemudian melepaskan tembakan. Saya balas dengan melontar granit sambil menjerit perkataan serang dan mereka (musuh) melarikan diri. Mereka mungkin menyangka kami ramai sedangkan ketika itu hanya kami bertiga,” ujarnya berkongsi kisah itu ketika ditemui di rumahnya di Panji, pada Khamis.

Kata Tengku Ahmad Noor lagi, dia langsung tidak menyedari jaket yang dipakai ketika itu telah ditembusi peluru senjata api milik musuh.

"Jaket saya pakai tembus terkena tembakan dengan kedua-dua lengan saya berlumuran darah. Anak buah saya terus meluru untuk menolong.

“Ketika memeriksa bahagian rusuk kiri, begitu mengejutkan kerana rupanya saya tidak cedera. Pada waktu itu, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya kerana peluru senjata musuh cuma terkena kelopak peluru dalam jaket yang saya pakai.

“Darah pada lengan yang disangka kesan tembakan sebaliknya adalah luka akibat terkena dahan pokok ketika meredah hutan,” katanya lagi.

Tengku Ahmad Noor menceritakan peristiwa bersejarah menetang pencerobohan komunis pada Operasi Kota Foxtrot di kawasan hutan di Guak Rimau, Perak pada Mei 1985. Foto SINAR HARIAN
Tengku Ahmad Noor menceritakan peristiwa bersejarah menetang pencerobohan komunis pada Operasi Kota Foxtrot di kawasan hutan di Guak Rimau, Perak pada Mei 1985. Foto SINAR HARIAN

Menurut beliau, kumpulan komunis itu kemudian melintasi sempadan dengan memasuki selatan Thailand menyebabkan serangan tidak dapat diteruskan.

Itu antara kisah yang sentiasa segar dalam ingatan Tengku Ahmad Noor sebagai antara pewira tanah air.

Menurutnya, selain peristiwa itu, beberapa peristiwa tragis pernah disaksikan sepanjang melawan musuh antaranya seperti melihat depan mata sendiri anggota putus kaki dan sebelah lagi hancur akibat letupan jerangkap samar.

“Sebagai tentera, kematian itu bukanlah satu hal yang difikirkan sebaliknya jiwa untuk mempertahankan tanah air tercinta menjadikan semua perajurit di medan perang pantang berundur sebelum gugur," tegas pesara berjiwa pejuang itu.

Tengku Ahmad Noor (kanan) dan isteri, Norhayati menunjukkan tempat berlubang kesan peluru yang sudah ditampal kerana digunakan semula untuk operasi lain. - Foto SINAR HARIAN
Tengku Ahmad Noor (kanan) dan isteri, Norhayati menunjukkan tempat berlubang kesan peluru yang sudah ditampal kerana digunakan semula untuk operasi lain. - Foto SINAR HARIAN

Tengku Ahmad Noor dilahirkan di Pasir Putih pada 5 Disember 1958 dan ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 23 Jun 1979.

‘Berani erti hidup, takut erti mati’ menjadi pegangan Tengku Ahmad Noor sepanjang berjuang selama 40 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya lelaki itu berkata, dia mendirikan rumahtangga bersama suri hatinya, Leftenan Kolonel (B) Datin Norhayati Abdul Jamak, 59, dan telah dikurniakan tiga cahaya mata perempuan berusia 34 dan 26 tahun.

Dua daripada mereka mengikut langkah dia dan isterinya dengan berkhidmat dalam ATM manakala seorang lagi merupakan peguam.

Sebelum bersara,Tengku Ahmad Noor menjadi Ketua Staff Markas Medan Barat Tentera Darat di Kem Sungai Besi pada tahun 2018.

Profil

> Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik dilahirkan di Pasir Putih pada tanggal 5 Disember 1958.

> Ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 23 Jun 1979 dan pertama kali bertugas di Sarawak.

Gambar-gambar yang tersimpan turut tertera tarikh memori itu dirakam mengingatkan Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik,63, terhadap peristiwa yang dilalui semasa menetang komunis.
Gambar-gambar yang tersimpan turut tertera tarikh memori itu dirakam mengingatkan Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik,63, terhadap peristiwa yang dilalui semasa menetang komunis.