Inkues Adib: Prosiding perbicaraan bersambung 19 Mac

A
A

SHAH ALAM - Prosiding Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim pada Isnin dan Selasa depan dilapangkan berikutan permohonanan penggantungan perbicaraan inkuiri yang difailkan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman akan didengari di Mahkamah Rayuan.

Koroner, Rofiah Mohamad memutuskan perkara itu selepas dimaklumkan Pegawai Pengendali Inkues Hamdan Hamzah bahawa mereka telah menerima afidavit daripada badan itu.

"Saya baharu sahaja menerima afidavit tersebut dan justeru kami perlu memfailkan afidavit balasan menerusi sistem e-filing di Mahkamah Rayuan petang ini," katanya.

Prosiding akan bersambung pada 19 Mac depan sepertimana yang dijadualkan sebelum ini.

Pada 22 Februari lalu, badan itu gagal menggantung sementara prosiding inkues selepas Mahkamah Rayuan memutuskan prosiding itu adalah berkepentingan awam.

Badan itu memfailkan notis usul untuk menggantungkan perbicaraan inkues tersebut pada 11 Februari lepas.

Inkues Kematian Muhammad Adib bermula pada 11 Februari lalu dan prosiding memasuki hari ke-12 dengan 19 saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Pada 31 Januari lalu, Mahkamah Koroner menolak permohonan jawatankuasa itu untuk menyertai pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding tersebut atas alasan tidak mempunyai kepentingan nyata, substansif dan munasabah.

Kuil tersebut kemudiannya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman turut menolak permohonan jawatankuasa kuil itu dan bersetuju terhadap keputusan Mahkamah Koroner.

Inkues yang dijadualkan dari 11 hingga 28 Februari itu akan turut diadakan pada 1, 4 dan 5 Mac serta dari 19 hingga 29 Mac, dan 1 hingga 12 April.

Muhammad Adib, 24 yang merupakan anggota Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya mengalami kecederaan parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November.

Allahyarham meninggal dunia pada 17 Disember ketika dirawat di Institut Jantung Negara.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia