X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Tubuh jawatankuasa bebas siasat punca tragedi kepala air Gunung Jerai

Fenomena kepala air yang turut menghanyutkan sejumlah pokok tumbang menyebabkan Chalet Alang Kenari di kaki Gunung Jerai mengalami kerosakan teruk. Gambar kecil: Aizuddin Ariffin
A
A

ALOR SETAR - Sebuah jawatankuasa bebas di peringkat Persekutuan perlu ditubuhkan segera bagi melengkapkan laporan berkaitan punca kejadian kepala air di Gunung Jerai pada Rabu.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin berkata, jawatankuasa berkenaan perlu melibatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan perunding bertauliah bagi memastikan ketelusan proses siasatan.

Menurutnya, laporan siasatan juga perlu menjurus kepada aspek teknikal berhubung langkah pencegahan selain penambahbaikan agar kejadian sama tidak berulang.

“Siasatan yang tuntas dan meyakinkan berlandaskan pada fakta-fakta teknikal sangat diperlukan memandangkan kawasan Gunung Jerai adalah tempat tumpuan pelancong.

"Sektor itu perlu diyakini mampu beroperasi dengan selamat pada masa akan datang bagi memastikan ekonomi domestik terus dijana,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Timbalan Ketua AMK Kedah itu, kerajaan negeri tidak seharusnya memandang ringan untuk mencari punca kejadian yang setakat ini meragut empat nyawa.

“Jawapan yang tidak berlandaskan kepada penilaian sebenar daripada kerajaan negeri hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat.

"Malah, pelbagai pandangan yang dilihat kontradik antara satu sama lain antara pimpinan politik, NGO, ahli akademik dan jabatan kerajaan berhubung punca berlakunya bencana ini perlu dimuktamadkan,” katanya.

Tegas Aizuddin, jawapan kepada punca bencana kepala air ini perlu diselesaikan segera bagi memastikan perkara sama tidak berulang khususnya keselamatan penduduk setempat di Yan dan Kuala Muda.

Dalam kejadian jam 5.30 petang Rabu, lebih 10 buah kampung di kaki Gunung Jerai dan taman perumahan di bandar Yan serta Gurun dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air yang menyebabkan kawasan berkenaan mengalami kerosakan teruk.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!