Transformasi kurikulum kejuruteraan pertanian depani revolusi pertanian 4.0

Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Muhammad Hazwan Hamzah
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Muhammad Hazwan Hamzah
A
A
A
PROFESION jurutera pertanian memainkan peranan penting di dalam dan luar negara dalam menyelesaikan pelbagai isu atau cabaran dalam bidang pertanian.

Bidang kejuruteraan pertanian merangkumi aktiviti kejuruteraan dalam pengeluaran dan pemprosesan pertanian termasuk pasca tuai dan sekitaran, tanah dan sumber air, informatik pertanian serta mekanisasi dan automasi.

Di Malaysia, pendidikan formal berkaitan kejuruteraan pertanian iaitu Bacelor Kejuruteraan Pertanian mula ditawarkan oleh Fakulti Kejuruteraan Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1975.

Program ini merupakan satu-satunya program kejuruteraan pertanian yang ditawarkan di Malaysia untuk tempoh lebih 40 tahun. Nama program telah ditambah baik kepada Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian.

Bidang pendidikan pertanian yang diterajui UPM menjadi disiplin yang memberi sumbangan penting terutamanya kepada kelestarian sekuriti makanan negara.

Kini, terdapat 4 program pengajian kejuruteraan pertanian meliputi peringkat sijil, diploma dan bacelor yang ditawarkan pelbagai institusi pengajian di dalam negara.

Revolusi industri pertanian 4.0 memberi banyak kelebihan kepada bidang pertanian. Namun begitu, penggunaan teknologi terkini dalam menyelesaikan masalah reka bentuk dan pembangunan termaju memerlukan sumber manusia terlatih dalam ilmu dan kemahiran di kalangan jurutera pertanian.

Transformasi kurikulum kejuruteraan pertanian perlu dalam memastikan kurikulum yang direka bentuk dapat melahirkan graduan yang adaptif dan kalis masa hadapan sesuai dengan kehendak industri masa kini.

Aspek revolusi industri pertanian 4.0 seperti internet benda, robot autonomi, kecerdasan buatan, analisis data raya dan pengkomputeran awan diberi penekanan dalam kursus yang ditawarkan.
Artikel Berkaitan:


Menyedari kepentingan melahirkan bakal jurutera dengan pengetahuan yang mencukupi dalam bidang kejuruteraan pertanian dan biosistem, program pengajian yang ditawarkan adalah relevan seiring dengan fokus semasa kerajaan Malaysia iaitu memperkasa bidang pertanian melalui Dasar Agromakanan Negara dan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030.

Penerokaan ilmu berteraskan teknologi baharu dalam era digitalisasi dan adaptasi revolusi industri pertanian 4.0 juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 dalam mempersiap modal insan negara.

Situasi pandemik Covid-19 tidak menghalang universiti untuk terus memberikan pengajaran dan pembelajaran secara norma baharu.

Selain penyebaran ilmu melalui kuliah dan amali, lawatan industri dan syarahan industri maya dilaksanakan bagi mendedahkan pelajar kepada amalan profesional kejuruteraan.

Para pelajar program ini juga menjalani latihan industri di sektor pertanian berkaitan bagi memberi pengalaman sebenar kepada teknologi terkini dan sebagai persediaan kepada alam kerjaya kelak.

Pengalaman merentas disiplin melalui Projek Reka Bentuk Bersepadu (IDP) diperoleh pada tahun akhir pengajian melibatkan masalah kejuruteraan yang kompleks dan sistem reka bentuk, komponen atau proses yang mengintegrasikan bidang teras kejuruteraan.

Melalui aktiviti secara berkumpulan yang bersifat inter dan intra-disiplin, pelajar dapat berinteraksi serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang tempoh pengajian.

Justeru, pelajar perlu diberikan pengetahuan dan kemahiran secukupnya untuk membangunkan teknologi berkaitan industri pertanian 4.0 secara berterusan agar tenaga mahir berdaya saing dapat diwujudkan mengikut keperluan pasaran.