Amerika, NATO malu besar

Pemberontak Taliban memulakan kemaraan untuk menguasai keseluruhan wilayah di Afghanistan sejak 6 Ogos lalu.
Pemberontak Taliban memulakan kemaraan untuk menguasai keseluruhan wilayah di Afghanistan sejak 6 Ogos lalu.
A
A
A

AMERIKA Syarikat (AS) sekali lagi dilabel sebagai gagal dan kalah dalam peperangan susulan penguasaan semula Taliban di Afghanistan.

Selama dua dekad bermula 1955 hingga 1975, kira-kira 50,000 korban di pihak AS dalam Perang Vietnam.

Tetapi perang dua dekad di Afghanistan (2001-2021) angka kematian menjadi rendah, bagaimanapun kemusnahan sangat besar.

Apa pun, impaknya tetap sama iaitu AS gagal dalam peperangan yang dicetuskan mereka sendiri.

Malah, AS di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden boleh dianggap bacul kerana bersikap lepas tangan dan meninggalkan negara tersebut dalam keadaan porak-peranda selepas terbukti mereka tidak mampu menangani peperangan itu.

Jelas sekali, kebangkitan Taliban gagal dihenti dan dimusnahkan sepenuhnya oleh AS walaupun bertapak selama 20 tahun di negara berkenaan.

Bukan sahaja AS, sekutunya iaitu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga terkena tempias.

Kedua-duanya dimalukan apabila gagal mengawal negara kecil yang miskin dan tidak mempunyai teknologi secanggih mereka.

Artikel Berkaitan:

Namun, NATO dengan nada ego masih mahu mengancam Taliban apabila menegaskan negara-negara anggotanya bersedia menyerang kumpulan itu jika ia berurusan dengan kelompok teroris, apa lagi menyambut mereka di Afghanistan.

Menurut NATO, mereka yakin masih memiliki kekuatan ketenteraan yang mencukupi untuk mengusir Taliban - misi yang terbukti gagal sejak pencerobohan kuasa asing di Afghanistan pada 2001.

Di Crawford, Texas pula, bekas Presiden ke-43, George W Bush mengalirkan air mata palsu apabila mengakui hatinya hancur melihat kemenangan Taliban.

Dalam surat yang disiarkan pada Isnin, Bush berkata penarikan diri pasukan AS di Afghanistan sebagai satu kesilapan besar.

Menurut Bush, beliau dan isteri, Laura, merasai penderitaan warga Afghanistan. Ironinya, penderitaan warga Afghanistan bertambah selepas pencerobohan AS ketika era pemerintahannya.

Bagi menebus kesalahan, Bush sepatutnya menempatkan pelarian dan penterjemah Afghanistan yang bimbang tindakan balas dendam Taliban di Texas - tindakan yang boleh dianggap 'fair and square'.

Apa pun bagi sebahagian rakyat Afghanistan, Taliban berjaya memerdekakan kembali tanah air mereka daripada cengkaman penjajahan dan pencerobohan yang tidak berperikemanusiaan.