Selangor yakin masuk ke fasa kedua PPN

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor dijangka memasuki ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang September ini, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata, unjuran tersebut dibuat berdasarkan perkembangan terkini kadar vaksinasi Selangor bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan aplikasi MySejahtera yang menunjukkan jumlah penerima dos pertama adalah sebanyak 98 peratus.

Beliau berkata, peningkatan kadar tersebut kerana terdapat warga Selangor yang mengambil vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) luar dari negeri itu; contohnya vaksin jenis AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

“Selepas dikemas kini melalui MySejahtera, jumlah penerima dos pertama sebanyak 98 peratus dan angka 80 peratus (yang diumum pada Rabu) adalah berdasarkan pusat-pusat pemberian vaksin di Selangor.

“Kita telah cecah 98 peratus pemberian dos pertama dan dengan angka itu kita yakin menjelang September nanti, Selangor boleh bila-bila masa memasuki Fasa 2 PPN.

“Kita juga mendapati kemasukan ke hospital untuk kes-kes kritikal menurun dengan signifikan terutamanya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Sungai Buloh bagi pesakit Covid-19 tahap pertama, kedua dan ketiga, iaitu mereka yang berumur 40 tahun, 60 tahun dan kumpulan komorbid,” katanya dalam sidang media secara maya di sini pada Khamis.

Bagi kadar dos vaksin kedua pula, Amirudin berkata, angka tersebut sedang dimuktamadkan dengan CITF, namun berdasarkan data dari PPV di Selangor sudah mencecah 56 peratus dan menjelang hujung bulan ini dijangka mencapai 60 peratus penduduk dewasa yang lengkap divaksinasi.

“Kita jangka jika dapat dipertingkatkan, ia dapat membantu imuniti kelompok dengan lebih lengkap,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Amirudin turut mengulas tentang pemberian suntikan vaksin dos ketiga yang dijangka pada awal atau pertengahan tahun hadapan.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah beberapa hari lepas dalam talian dan kita lihat kebarangkalian untuk vaksin (dos ketiga) itu dilaksanakan pada tahun hadapan dan bukan tahun ini kerana kita sedang menunggu isyarat yang jelas dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Beliau berkata, ada beberapa pertimbangan yang harus diambil kira termasuk bekalan vaksin yang masih terhad di negara-negara lain di dunia dan bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara. - Bernama