X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 19 Mei 2022

Mangsa keempat tragedi kepala air ditemui

Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang di sekitar Pusat Peranginan Titi Hayun pada Khamis.
A
A

YAN - Mayat mangsa keempat yang hilang akibat fenomena kepala air di puncak Gunung Jerai di sini ditemui di KEDA Sungai Udang di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, mangsa, Mohd Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui oleh Unit Anjing Pengesan (K9) kira-kira jam 3.10 petang.

Abdul Wahab berkata, penemuan mangsa itu menjadikan angka korban fenomena kepala air mencecah empat orang setakat ini.

"Pada Rabu, mayat pertama dikenali sebagai Ahmad Din, 64, ditemui kira-kira jam 6.30 petang di Kampung Setol.

"Mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, pula ditemui di Kilometer 8, Gunung Jerai kira-kira jam 11 malam Rabu dan mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun pada jam 12.30 tengah malam Khamis," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan operasi mencari dan mencari mangsa hilang di Titi Hayun pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon.

Abdul Wahab berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang mangsa yang cedera dikenali sebagai Abdullah Morad, 64, pada jam 11.45 malam Rabu.

Tambah beliau, pihaknya kini masih meneruskan operasi mencari dan menyelamatkan dua lagi mangsa yang hilang selepas terperangkap dalam fenomena kepala air melibatkan dua sektor di Titi Hayun dan Salak Denai.

"Memang sesuatu yang sukar sebab kepala air membawa sisa-sisa hutan tunggul dan kayu batu, jadi ada kemungkinan menyebabkan mangsa bertindih atau tertimbus yang memerlukan pencarian begitu teliti," katanya.

Menurut beliau, difahamkan unit K9 menemui petanda, namun ia perlu disahkan semula dengan anggota pasukan penyelamat.

Abdul Wahab berkata, seramai 71 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Pasukan Kemahiran Pelbagai (MUST) terlibat dalam operasi itu.

Katanya, operasi berkenaan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Daerah Yan.

"Kita turut menggerakkan unit K9 dan dron di lokasi berkenaan, selain dibantu anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak,Pulau Pinang dan Perlis," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!